Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan semak semula undang-undang 'cabul hak asasi'

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terdapat keperluan segera untuk menyemak semula undang-undang tertentu yang didapati melanggar hak-hak asasi individu seperti mana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh kementerian untuk menyemak semula semua undang-undang di bawah bidang kuasanya bagi melindungi rakyat daripada sebarang bentuk pencabulan hak asasi manusia, katanya dalam ucapan pada perasmian bengkel mengenai konvensyen menentang penyeksaan dan hukuman lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAT) dengan komuniti Islam Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Nadzri Siron.

“Kabinet telah berbincang mengenai isu ini dan selaku Menteri Dalam Negeri, saya menyokong penuh usul tersebut. Pemansuhan hukuman mati juga seiring dengan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Antara undang-undang terbabit ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 , Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

'Mencegah kezaliman'

Sementara itu, Muhyiddin berkata walaupun Malaysia belum menyertai UNCAT, negara ini kekal komited menyokong perjuangan global menentang penyeksaan dan mengambil pendekatan tegas untuk tidak membiarkan sebarang bentuk penyeksaan atau layanan buruk serta budaya bertindak sewenang-wenangnya dalam kalangan masyarakat dan pihak berkuasa.

“Kami mahu wujudkan mekanisme pemantauan, dasar perlindungan dan kebertanggungjawaban yang berkesan bagi mencegah kezaliman.

“Kami juga sedar ada isu keserasian undang-undang negara, baik sivil mahupun syariah, dengan peruntukan UNCAT khususnya dalam pelaksanaan hukuman mati dan hukuman berbentuk penderaan bagi mencegah jenayah yang memerlukan semakan semula undang-undang berkaitan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga mengakui akan keperluan penambahbaikan secara beransur-ansur ke arah menerima UNCAT yang bertujuan mendukung maruah semua individu dan hak-hak asas mereka dalam kehidupan dan kebebasan yang turut termaktub dalam Perkara 3 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 dan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Bengkel itu bertujuan menggalakkan persefahaman lebih baik dalam kalangan badan bukan kerajaan Islam Malaysia mengenai UNCAT.

- Bernama

Lihat Komen
ADS