Paling Popular
Terkini

Pelantikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai menteri kabinet yang paling muda di negara ini menandakan kemunculan suara golongan muda yang bebas dan terbuka serta mencerminkan pembaharuan.

Pelantikan Syed Saddiq, 26, sebagai Menteri Belia dan Sukan hari ini telah membuka jalan bagi golongan muda di negara ini memainkan peranan dalam pentadbiran kerajaan.

Syed Saddiq, anggota parlimen termuda dan pendebat muda yang berkelulusan tinggi dalam jurusan undang-undang, sekarang memikul tanggungjawab besar dalam menjaga kementerian yang sangat penting di negara ini.

Bagaimana beliau menangani cabaran akan menentukan kemampananannya sebagai ahli politik muda dalam usaha untuk mengubah dasar dan memimpin belia ke hala tuju sebuah negara Malaysia yang baharu.

Naib presiden PKR Tian Chua mengingatkan anggota parlimen Muar itu supaya sentiasa bersiap siaga tentang cabaran yang menantinya ketika beliau memulakan tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Elak bersikap naif

“Beliau (Syed Saddiq) menerajui kementerian yang berurusan dengan hal ehwal belia dan oleh itu, beliau juga perlu ingat bahawa beliau berdepan dengan dunia sukan yang diselubungi kemelut dan rasuah,” kata Tian Chua kepada Bernama.

Untuk itu, Tian Chua menasihatkan Syed Saddiq supaya mengelakkan daripada bersikap naif dan tidak membenarkan dirinya diperdaya atau terjebak dalam amalan-amalan yang berganggah debngan peranannya sebagai menteri.

“Oleh itu, beliau perlu sentiasa berwaspada dan tahu bagaimana untuk menangani isu-isu yang menjadi sebahagian daripada kapasitinya sebagai Menteri Belia dan Sukan," kata beliau.

Tian Chua juga mengaku bahawa jurang generasi dalam kerajaan baharu pasti memberi satu lagi cabaran kepada Syed Saddiq.

“Beliau mungkin menghadapi beberapa cabaran untuk mengemukakan pendapat dan pemikirannya kepada generasi tua dalam Kabinet tetapi pada masa yang sama, kerajaan boleh mendapat manfaat daripada idea-idea baharu, semangat golongan muda dan pemikiran tidak konvensional,” kata Tian Chua.

Tak mungkin bawah BN

Tian Chua berkata Syed Saddiq harus menyerap idea-idea daripada generasi tua dalam kabinet tetapi pada masa yang sama mengekalkan idealismenya dan mencari jalan untuk menterjemahkannya menjadi kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Datuk Sivarraajh Chandran berkata pelantikan Syed Saddiq sebagai anggota kabinet paling muda adalah perkara yang tidak mungkin berlaku di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

“Saya fikir ini tidak akan berlaku di bawah BN, seorang baru berusia 26 tahun menjadi menteri, oleh itu, saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikannya dan pengiktirafan kepadai golongan muda yang diberi peluang dalam tadbir urus," katanya.

Syed Saddiq anak kelahiran Johor mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan hari ini di Istana Negara di sini hari ini bersama 12 lagi menteri dan 23 timbalan menteri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS