Menceburi politik pada 1983, Khalid Abdul Samad yang dilantik sebagai Menteri Wilayah hari ini, ialah antara tokoh yang mengharungi banyak onak politik tanah air.
Berpengalaman hampir 35 tahun dalam dunia politik, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mula terlibat aktif dalam bidang politik dan menjadi calon kerusi Parlimen Kuala Krai pada Pilihan Raya Umum 1986 tetapi tewas.
Adik bongsu kepada pemimpin Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Khalid pernah ditahan selama sembilan bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yang sudah dimansuhkan) pada 1987, kemudiannya terus aktif dan ialah antara barisan pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat.
Khalid pernah menjadi Anggota Jawatankuasa PAS Pusat bermula 1987 sehingga 1995 dan memegang jawatan penting dalam PAS termasuk sebagai timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, serta anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi penggal 2013 sehingga 2015, sebelum keluar parti dan mengambil keputusan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).
Parlimen Shah Alam
Pengarah komunikasi Amanah itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam, yang disandangnya sejak 2013, pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas.
Pada PRU14, Khalid memenangi kerusi Parlimen Shah Alam dengan 55,949 undi mengalahkan calon BN Azhari Saari (22,100) dan calon PAS Mohd Zuhdi Marsuki (15,194).
Berkelulusan ijazah Kejuruteraan Bahan Api dan Tenaga daripada Universiti Leeds United Kingdom (UK), Khalid memulakan kerjayanya di Petronas Dagangan Sdn Bhd selama enam tahun bermula 1980.
Khalid pernah menjadi pengarah urusan bagi dua buah syarikat iaitu Naftamore Sdn Bhd (1987–2005) dan Techart Technologies (1997 - 1999).
Beliau kemudian menjadi pengurus operasi bagi syarikat Corroshield Sdn Bhd selama tiga tahun bermula 2006.
Hasil perkongsian hidupnya dengan Dr Zaitun Abu Bakar, mereka dikurniakan empat orang anak.
- Bernama
