Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Zeti kata Najib buat dakwaan palsu, tak berasas

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menafikan dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tahu akan wang RM2.6 bilion yang berada dalam akaun peribadinya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ia di sebalik keengganan bekas gabenor Bank Negara untuk mengulas perkara itu ketika ditanya pemberita hari ini.

Lim berkata Zeti ada menyebut perkara itu kepadanya ketika mereka bertemu dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kementerian Kewangan pagi tadi.

"Zeti berkata ia tidak benar sama sekali dan tak berasas," katanya kepada pemberita.

Lim berkata beliau mencadangkan kepada Zeti agar berhubung dengan peguam untuk mengambil tindakan terhadap dakwaan itu.

"Saya pasti beliau akan berbuat demikian. Kita tunggu saja beliau membuat keputusan. Saya fikir kita patut biarkan proses yang sepatutnya berjalan," katanya lagi.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu, Najib mendakwa Zeti sudah tahu wujudnya RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya sebelum PRU ke-13 tetapi tidak mempersoalkan perkara itu.

Najib bertegas wang tersebut hasil derma anggota keluarga diraja Arab Saudi dan untuk tujuan kempen pilihan raya.

Sementara itu, Lim berkata beliau sepenuhnya yakin dengan kewibawaan dan integriti yang ada pada Zeti.

"Jika anda diberi pilihan - mahu percaya Najib atau Zeti?

"Siapa yang kumpul beg tangan Hermes? SIapa yang ada barang kemas bernilai RM200 juta? Siapa yang ada wang tunai RM116 juta?

"Jika dibandingkan antara Zeti dan Najib, saya akan percaya Zeti. Biar rakyat Malaysia yang membuat keputusan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS