Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Larang kahwin bawah umur tanpa pengecualian bercanggah hukum syarak'
Diterbitkan:  Jul 3, 2018 5:33 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Isu perkahwinan bawah umur perlu dirujuk kepada hukum syarak di negeri-negeri dan bukannya merujuk kepada akal semata-mata dan kehendak orang politik atau kerajaan Persekutuan, kata ulama PAS.

"Isu perkahwinan bawah umur sepatutnya dirujuk kepada hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri dan bukannya merujuk kepada akal semata-mata dan kehendak orang politik atau kerajaan Persekutuan," kata Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau menyifatkan kenyataan menteri persekutuan yang didakwa mahu membuat ketetapan tertentu dalam isu perkahwinan bawah umur dilihat sebagai bentuk campur tangan dan membelakangkan institusi Syarak di peringkat negeri.

"Kenyataan menteri Kerajaan Persekutuan yang mahu membuat ketetapan tertentu dalam isu perkahwinan bawah umur melibatkan orang-orang Islam dilihat sebagai suatu bentuk campur tangan dan membelakangkan hukum Syarak dan undang-undang serta institusi Mahkamah Syariah di peringkat negeri ini.

"Lebih malang lagi ada juga pihak yang mahu perkahwinan ini dilarang sepenuhnya tanpa ada pengecualian," maklum anggota parlimen Kuala Nerus itu lagi.

Keharusan hukum

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu juga menggesa semua pihak untuk menghormati hukum Syarak dilaksanakan menerusi undang-undang keluarga Islam dalam menangani isu perkahwinan orang Islam.

"Justeru, semua pihak perlulah menghormati hukum Syarak yang diaplikasikan menerusi undang-undang keluarga Islam ini dalam menangani isu-isu berkaitan perkahwinan orang-orang Islam.

"Melarang sepenuhnya perkahwinan bawah umur tanpa pengecualian adalah bercanggah dengan keharusan dalam hukum Syarak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Isu perkahwinan bawah umur ini timbul ekoran kisah pernikahan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun dari Kelantan baru-baru ini yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia. Kanak-kanak itu dinikahi di Thailand.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama Thailand memberitahu perkahwinan itu tidak sah di sisi undang-undang negara itu. Perkara itu dimaklumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof yang berjumpa dengan Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN).

Perkahwinan tidak sah

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata perkahwinan budak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan mahkamah syariah.

Dalam pada itu, beliau dilaporkan berkata kes perkahwinan tersebut perlu dilihat secara holistik sama ada terdapat unsur-unsur seperti pedofilia, eksploitasi kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Jelas Dr Wan Azizah lagi, sudah tiba masa untuk menaikkan had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Manakala itu, semalam Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin memaklumkan konsep wali seharusnya menjadi pelindung dan tidak memangsakan anaknya dengan menikahkannya tanpa rela atas faktor kemiskinan.

“Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana dia mahu peroleh keuntungan tertentu, tidak layak menjadi wali. Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa,” kata Asri.

Asri berkata kanak-kanak perempuan bawah umur tidak faham realiti apa yang dia persetujukan.

“Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya. Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela.

“Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama. Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan perlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya. Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin di peringkat itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS