Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas hubungan berada di tahap “lesu” sejak beberapa tahun kebelakangan dan menjadi “dingin” berikutan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dekat Kuala lumpur pada 2006, Malaysia berminat untuk memperkukuhkan semula hubungan dua hala dengan Mongolia.

Duta Besar Malaysia ke China yang juga ditauliahkan ke Mongolia Datuk Zainuddin Yahya ketika melahirkan harapan itu berkata beliau berharap lawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Mongolia akan menghasilkan pengukuhan semula hubungan.

Wan Azizah dijadual tiba di Mongolia lewat hari ini (Selasa) untuk lawatan tiga hari bagi menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Asia bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di ibu negara Mongolia itu sehingga 5 Julai. Ini merupakan lawatan pertama Wan Azizah ke luar negara sejak menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Saya menaruh sepenuh harapan bahawa lawatan kerja oleh Timbalan Perdana Menteri ke Mongolia akan membawa kepada pemulihan dan pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara,” kata beliau kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Wan Azizah ke ibu negara Mongolia itu pada Selasa.

Beliau juga berharap suruhanjaya bersama bagi perjanjian ekonomi, saintifik dan teknikal, yang ditandatangani antara kedua-dua negara bertahun-tahun yang lalu, dapat diaktifkan semula.

Kes pembunuhan Altantuya

Selepas pemeteraian perjanjian itu pada masa lalu, Zainuddin berkata Malaysia dan Mongolia "tidak pernah bertemu” dan mesyuarat pertama tidak pernah diadakan.

"Kita berharap mesyuarat pertama suruhanjaya bersama antara kedua-dua negara akan diadakan secepat mungkin kerana ini adalah forum penting – untuk kedua-dua pihak berbincang dan meneroka pelbagai kerjasama yang berpotensi antara kedua-dua negara,” kata beliau.

Malaysia telah menjalin hubungan diplomatik dengan Mongolia sejak 1971 tetapi keterlibatan di peringkat menteri agak terbatas, kata beliau.

Zainuddin berkata hubungan diplomatik Malaysia-Mongolia mengalami kelesuan sejak 1997 dengan tidak banyak pertukaran lawatan di peringkat menteri dan pegawai antara kedua-dua negara serta dari sektor swasta sejak itu.

Beliau mengaku bahawa kes pembunuhan Altantuya pada tahap tertentu telah menyebabkan hubungan menjadi dingin".

Kaji semula kes

Beliau percaya kerajaan Mongolia memberi perhatian peribadi dalam kes pembunuhan Altantuya dan berusaha untuk mendapatkan penghakiman yang adil.

Altantuya dipercayai ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan dekat Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam, pada 2006.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar bersama rakannya Azilah Hadri, disabitkan atas pembunuhan Altantuya dan dijatuhi hukuman mati.

Zainuddin berkata kerajaan baharu Malaysia telah membuat penjelasan mengenai kes Altantuya dan bersetuju untuk mengkaji semula kes dan berjanji bahawa kes itu harus ditangani mengikut undang-undang.

Kepada soalan sama ada kerajaan Mongolia telah berhubung dengan beliau mengenai kes Altantuya, Zainuddin berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang permintaan untuk mengadakan pertemuan.

Pada masa ini, kira-kira 10 warga Malaysia berada di Mongolia dan mereka terlibat dalam industri hospitaliti dan perkhidmatan.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Mongolia adalah RM73.6 juta pada 2017 dan RM66.7 juta pada 2016.

Malaysia mengeksport barangan elektrik, makanan diproses dan produk berasaskan minyak sawit serta produk pertanian ke Mongolia. Mongolia pula mengeksport produk berasaskan kasymer dan besi sekerap ke Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS