Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

EKSKLUSIF |  Datuk Seri Najib Razak berkata beliau bimbang kempen dan tuduhan berterusan yang dilemparkan terhadapnya telah meletakkan kerajaan baru dalam kedudukan di mana ia tidak mempunyai pilihan selain untuk menangkap dan mengenakan pendakwaan terhadap dirinya.

Bekas perdana menteri berkata demikian dalam wawancara eksklusif terakhirnya dengan Malaysiakini minggu lalu sebelum penangkapannya petang ini.

"Jalan cerita politik kerajaan Pakatan Harapan kini mudah: 'Najib curi berbilion'. Oleh itu, negara hampir muflis dan mereka tidak dapat menunaikan janji-janji manifesto dan mungkin perlu menjual atau menswastakan aset negara seperti Petronas.

"Sudah, akhbar Jepun melaporkan konglomerat San Miguel Filipina menunjukkan minat pada aset minyak dan gas negara kita," katanya.

Najib berkata ini ditambah dengan apa yang dikatakannya sebagai "dakwaan mengelirukan" bahawa hutang negara berada pada RM1 trilion membuatkan pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memiliki sedikit peluang untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.

"Situasi ini dan apa yang mereka katakan sebelumnya bermakna bahawa kerajaan baru tidak mempunyai pilihan selain daripada akhirnya menangkap atau mendakwa saya walaupun kes itu lemah. Saya tetap mengatakan saya tidak bersalah kerana saya bukan pencuri," tegasnya.

Najib harap perbicaraan adil

Bagaimanapun, bekas perdana menteri berharap dapat diberikan perbicaraan yang adil sekiranya beliau didakwa, memaklumkan salah satu janji HARAPAN adalah perbicaraan yang bebas daripada campur tangan politik.

"Apa yang ingin dilihat oleh rakyat Malaysia adalah kedaulatan undang-undang, bukan hanya dikatakan tetapi diamalkan supaya mereka mempunyai keyakinan ini bahawa kita mempunyai sistem yang telus.

"Ini bukan satu ujian kepada saya, tetapi satu ujian untuk sistem - jika sistem itu boleh mencerminkan kepercayaan terhadap sistem yang mesti dipunyai rakyatnya.

"Saya percaya saya tidak bersalah, oleh kerana itu, satu-satunya cara saya dapat membersihkan nama saya ialah melalui sistem yang adil dan sistem yang dipraktikkan berdasarkan kedaulatan undang-undang," katanya.

Ditanya jika beliau yakin pesaing politiknya akan membenarkan perbicaraan yang adil, Najib berkata beliau tidak pasti tentang perkara ini.

"Ini suatu ujian, ujian buat Malaysia," tegasnya lagi.

"Bolehkah rakyat Malaysia bergantung kepada institusi ini, (seperti) sistem keadilan dan lebih banyak lagi? Setiap orang (seharusnya) mempunyai peluang untuk membuktikan diri mereka di bawah sistem ini," katanya.

Tidak lama selepas menawan kuasa persekutuan, kerajaan HARAPAN membuka semula penyiasatan terhadap 1MDB dan SRC International, yang menuduh Najib menghalang (siasatan) ketika beliau berkuasa.

Tiada hasrat hendak lari

Sementara itu, bekas perdana menteri menjelaskan sekali lagi beliau tidak mempunyai keinginan untuk melarikan diri dari Malaysia selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei.

"Saya tidak mempunyai kecenderungan, tiada hasrat untuk meninggalkan negara ini. Sebaik sahaja anda meninggalkan negara ini, andaiannya adalah (anda) bersalah dan anda menjadi buruan untuk sepanjang hayat anda.

"Saya tidak bersedia untuk itu, ini negara saya, saya tidak akan meninggalkan negara ini," katanya.

Najib turut ditanya bagaimana beliau menangani tanggapan orang ramai yang kelihatan memandang serong kepadanya.

"Saya masih disambut dan disukai di sektor tertentu dan sektor tertentu mungkin mempunyai perasaan yang bertentangan terhadap saya," katanya.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berkata beliau menyambut baik peluang untuk membersihkan namanya dan meminta orang ramai supaya tidak menilainya sebelum (proses) itu.

"Saya berharap orang ramai tidak akan menghukum saya kerana ada banyak fitnah dan banyak perkara yang telah dikatakan, walaupun saya tidak lagi memegang jawatan.

"Mudah-mudahan orang ramai akan berlaku adil dan menilai saya juga (berdasarkan) semua perkara yang baik yang telah saya lakukan di negara ini," katanya.

Sebagai contoh, Najib berkata, beliau telah mentadbir pengurusan ekonomi yang menghalang dua kemelesetan berlaku; satu pada tahun 2009 dan satu lagi beberapa tahun yang lalu apabila harga minyak dunia jatuh.

GST bertindak sebagai penampan

Beliau juga mempertahankan GST, yang dilaksanakan pada April 2015 di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata hasil daripada GST bertindak sebagai penampan sekiranya terdapat faktor luaran yang melemahkan ekonomi.

Mengenai pemberian wang tunai BR1M, Najib berkata ia merupakan cadangan Bank Negara Malaysia.

"Saya diserang, dikatakan wang tunai adalah raja dan semua itu, tetapi sebenarnya idea itu dicetuskan oleh Bank Negara dalam satu taklimatnya," katanya.

Beliau berkata bank pusat mencadangkan menghapuskan subsidi tertentu dan menyalurkan wang yang disimpan kepada BR1M untuk menyediakan bantuan tunai langsung terhadap mereka yang memerlukan.

"Oleh yang demikian, kita menjadi masyarakat yang lebih adil. Garis kemiskinan dan kadar ketidaksetaraan kita adalah yang paling rendah dalam sejarah.

"Saya juga pastikan KWSP dan dana lain membayar dividen yang bagus supaya kekayaan dan pendapatan rakyat ditingkatkan," katanya menjelaskan antara kejayaannya.

Najib memaklumkan dana KWSP meningkat lebih daripada separuh daripada RM300 bilion kepada RM850 bilion manakala dana Tabung Haji meningkat daripada RM30 bilion kepada RM70 bilion semasa sembilan tahun pentadbirannya.

Lihat Komen
ADS