Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib hadapi 3 tuduhan pecah amanah, satu salah guna kuasa
Diterbitkan:  Jul 4, 2018 9:37 AM
Dikemaskini: Jul 5, 2018 8:21 AM

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Najib, yang kelihatan tenang, selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin, yang membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 65, yang berkemeja putih, sut biru gelap dan bertali leher, dibawa masuk ke mahkamah kira-kira 9.15 pagi, Beliau tidak digari.

Prosiding mahkamah bermula pada 9.20 pagi dan ditangguhkan sejam setengah kemudian.

Terdahulu, Peguam Negara Tommy Thomas, yang dibantu sepasukan 11 timbalan pendakwa raya, memohon supaya prosiding dikendalikan dalam bahasa Inggeris, dan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Zainal Abidin: Pertuduhan dalam bahasa Melayu?

Thomas: Ya.

Thomas kemudian mengemukakan izin mendakwa mengikut Seksyen 58 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pertuduhan kemudiannya dibacakan kepada tertuduh.

Selepas pertuduhan pertama dibacakan ke atas Najib, peguam utama beliau Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjalan menghampiri Najib, yang berdiri di dalam kandang tertuduh.

Apabila selesai tiga pertuduhan dibacakan kepada Najib, beliau menganggukkan kepalanya menandakan faham setiap pertuduhan. Thomas memohon kepada mahkamah supaya ketiga-tiga kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berdasarkan Kanun Tatacara Jenayah dan meminta supaya tiada pengakuan direkodkan daripada Najib.

Muhammad Shafee bagaimanapun berhujah pengakuan itu perlu perlu dibuat di Mahkamah Sesyen selain di Mahkamah Tinggi, bagaimanapun hakim bersetuju dengan Thomas.

“Memandangkan kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, saya memutuskan supaya pengakuan direkodkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata Zainal Abidin.

Najib turut mengangguk faham selepas pertuduhan keempat dibacakan terhadapnya dan Thomas mengemukakan permohonan yang sama supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, dan hakim sekali lagi membenarkannya.

Ruang mahkamah penuh sesak dengan peguam, timbalan pendakwa raya, anggota keluarga Najib dan wakil media. Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor tidak hadir di mahkamah, bagaimanapun dua mereka, Nooryana Najwa dan Datuk Mohd Nazifuddin, dilihat beredar meninggalkan mahkamah sebelum itu.

Barisan tempat duduk pertama dan kedua dikhaskan kepada keluarga Najib, manakala ketiga dan keempat pula diperuntukkan kepada media. Hanya seorang pemberita daripada setiap organisasi media dibenarkan berada di dalam mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelas Timbalan Pendakwa Raya yang membantu Thomas ialah Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Muhammad Shafee pula dibantu oleh lima peguam iaitu Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Shafee.

- Bernama

Lihat Komen
ADS