Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tugas getir bawa keluar remaja terperangkap dalam gua
Diterbitkan:  Jul 4, 2018 10:56 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Beberapa jam selepas berjaya menjumpai 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, utara Thailand malam semalam, pasukan penyelamat kini mengejar masa ketika berdepan satu lagi tugas getir.

Pasukan penyelamat diminta supaya mempercepatkan tugas untuk membawa keluar remaja dan jurulatih mereka yang terperangkap itu oleh kerana para pegawai bimbang hujan yang dijangka berlaku beberapa hari lagi akan meningkatkan paras air di dalam gua Tham Luang.

“Oleh kerana hujan dijangka berlaku dalam beberapa hari lagi, operasi membawa keluar (13 orang itu) perlu dipercepatkan. Sekiranya paras air terus meningkat, tugas ini akan menjadi lebih sukar. Kami mesti membawa mereka keluar,” kata Menteri Dalam Negeri Jen Anupong Paojinda kepada media di Bangkok.

Satu daripada kaedah yang dicadangkan adalah bagi pasukan penyelamat membantu remaja terbabit untuk menyelam dengan menggunakan peralatan menyelam di beberapa bahagian tertentu di dalam gua yang digenangi air itu, meskipun tahu tentang bahaya yang bakal dihadapi.

Terlalu sempit

Remaja terbabit, berumur 11 hingga 16 tahun menurut pegawai di lapangan, bukan sahaja tidak tahu berenang, tetapi terdapat kemungkinan mereka perlu menyelam bersendirian terutamanya di laluan bawah air tertentu yang keruh dan terlalu sempit untuk memuatkan dua orang.

“Menyelam bukanlah mudah, disebabkan terdapat beberapa laluan sempit di dalam gua itu,” kata Anupong, dan menambah, usaha untuk mengepam keluar air di dalam gua itu akan dipertingkatkan bagi mengurangkan paras air untuk mempermudahkan operasi menyelamat.

Pihak berkuasa telah menempatkan beberapa pam air berkuasa tinggi di dalam kompleks gua yang sangat luas itu untuk menyalirkan keluar air banjir.

Sementara itu, gabenor Chiang Rai Narongsak Osoththanakorn berkata pemeriksaan perubatan yang dijalankan ke atas remaja itu dan jurulatih mereka mendapati kesemuanya berada dalam keadaan sihat, sungguhpun terperangkap di dalam gua selama 10 hari tanpa sebarang makanan.

Remaja berkenaan dan jurulatih mereka daripada Akademi Bola Sepak Mu Pa dijumpai oleh dua penyelam daripada Unit SEALS Tentera Laut Thai dan Britiain kira-kira 9.30 malam (waktu tempatan) malam tadi.

Ketika dijumpai, kesemua 12 remaja dan jurulatih mereka sedang duduk di atas bongkah besar yang kering, kira-kira 300 hingga 400 meter dari sebuah kawasan berpasir di dalam gua itu yang dikenali sebagai ‘Pantai Pattaya’.

'Terima kasih'

Sementara itu, deraian air mata yang diiringi ungkapan “Terima kasih, Terima kasih’ menyambut kedatangan pasukan penyelamat apabila sekumpulan 12 kanak-kanak lelaki dan jurulatih mereka ditemukan di dalam gua yang banjir di Chiang Rai, utara Thailand malam semalam.

Sepasukan Tentera Laut Diraja Thailand (SEAL) dan penyelam dari luar negara menemui kumpulan kanak-kanak itu, berumur antara 11-16 tahun dan jurulatih, 25, di dalam gua Tham Luang pada pukul 9.30 malam semalam (waktu tempatan) iaitu 10 hari selepas mereka dilaporkan hilang.

Satu rakaman berdurasi lima minit disiarkan dalam akaun facebook SEAL lewat malam tadi secara sepintas lalu mengenai keadaan kanak-kanak berkenaan, yang berkaki ayam tapi masih memakai jersi sukan serta duduk di bahagian atas batu yang kering di dalam gua yang gelap itu.

Titisan air mata

Sesetengah kanak-kanak berkenaan dillihat menyapu titisan air mata kegembiraan selepas melihat pasukan penyelamat, yang berusaha mententeram dan memberi jaminan yang mereka selamat dan usaha sedang dilakukan untuk membawa mereka keluar dari gua itu secepat mungkin.

"Bukan hari ini, bukan hari ini, kita akan datang, ramai akan datang. Kami yang pertama,” kata seorang daripada pasukan penyelamat itu yang pandai berbahasa Inggeris kepada kanak-kanak dan jurulatih Akademi Bola Sepak Mu Pa, apabila ditanya oleh seorang daripada kanak-kanak berkenaan mengenai bila mereka akan dibawa keluar dari gua berkenaan.

Seorang daripada kanak-kanak berkenaan juga bertanya hari apakah hari ini, yang lantas dijawab oleh seorang daripada pasukan penyelamat, “Hari ini Isnin, kamu telah berada dalam gua ini selama 10 hari. Kamu amat tabah. Kami telah menyelam selama berhari-hari.”

“Saya sungguh gembira. Berbanyak terima kasih, kamu dari mana,” tanya seorang lagi kanan-kanak yang dijawab oleh penyelam dari luar negara yang tidak dikenali namanya, dari “England”.

Berita gembira ini, yang dinantikan oleh berjuta rakyat Thailand dan luar negara yang bimbang dengan keselamatan kumpulan kanak-kanak ini, akhirnya diumumkan oleh gabenor Chiang Rai, Narongsak Osoththanakorn, yang mengumumkannya pada persidangan akhbar berhampiran tempat menyelamat itu kira-kira 11 malam tadi (waktu tempatan).

"Penyelam SEAL (Tentera Laut Diraja Thailand) memaklumkan bahawa mereka berjumpa dengan 13 kanak-kanak dan jurulatih itu dalam keadaan selamat,” katanya dan menambah bahawa semua kanak-kanak lelaki itu dan jurulatih berkenaan masih berada dalam gua itu.

Gua keempat terbesar

Narongsak, yang juga jurucakap de-facto bagi misi menyelamat itu berkata, langkah seterusnya ialah menghantar doktor dan makanan ke lokasi kumpulan kanak-kanak itu ditemui

Para doktor yang berkebolehan menyelam itu akan melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak berkenaan terlebih dahulu sebelum sebarang usaha membawa mereka keluar dari gua berkenaan yang terletak berhampiran sempadan Thailand dan Myanmar.

Jajaran gua berkenaan dianggap oleh sekumpulan pakar gua sebagai gua keempat terbesar di Thailand.

Para pegawai rasmi juga berkata mereka akan terus mengepam keluar air dari gua berkenaan bagi memudahkan usaha para penyelamat membawa keluar kanak-kanak berkenaan dari gua itu memandangkan pegawai ramalan cuaca menyatakan cuaca basah akan berlaku mulai esok dan banjir akan melanda sekali lagi di gua berkenaan.

Sementara itu, berita mengenai usaha menyelamat selepas hari ke 10 itu membawa khabar kegembiraan kepada ahli keluarga kanak-kanak berkenaan dan jurulatih mereka, yang sentiasa berdoa berhampiran jajaran gua berkenaan.

Dengan air mata yang bergenang di kelopak mata namun diiringi senyuman, Aisha Wiboonrunrueng, seorang daripada ibu kanak-kanak yang hilang itu, yang menunggu dengan penuh sabar berhampiran gua berkenaan memberitahu media tempatan, beliau akan masak makanan kegemaran anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu, telor dadar Thai, apabila anaknya selamat pulang ke rumah.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha dalam satu kenyataan segera awal pagi ini berdoa agar kanak-kanak dan jurulatih berkenaan “selamat dan cepat sembuh” di samping berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang terdiri daripada pelbagai pasukan penyelamat atas usaha mereka.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS