Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kabinet HARAPAN: Setia berkhidmat atau ditendang rakyat

ULASAN l Banyak orang bersungut dan tidak kurang pula yang bimbang mengenai kelambatan menyudahkan pembentukan jemaah menteri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Macam orang lain juga, saya mempunyai pertanyaan yang sama. Tetapi setelah terlibat sedikit sebanyak dengan proses pembentukan Pakatan Harapan (HARAPAN) – bermula dengan kempen tanda tangan “Selamatkan Malaysia” pada 4 Mac 2016 – saya faham mengapa pembentukan kabinet mengambil masa yang agak panjang.

Kita kena faham. Inilah kali pertama sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1959 atau lebih tepat sejak kita merdeka hampir 61 tahun lalu, kita mengubah kerajaan.

Alhamdulillah dengan sokongan rakyat jelata, HARAPAN yang tidak pun diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang asal usulnya sudah 66 tahun lebih. Itu saja sudah berupa satu ketakjuban.

Sedikit fakta sejarah. BN bermula dengan eksperimen melibatkan Umno dan MCA dalam pilihan raya majlis perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Gabungan Umno-MCA menang besar dan meletaklah batu asas penubuhan Perikatan.

Pada PRU 1974 Perikatan membesar menjadi Barisan Nasional. Selepas PRU 9 Mei lalu, BN kembali menjadi Perikatan dengan keahlian asal Umno, MCA dan MIC. Parti-parti lain telah menarik diri.

Selamatkan Malaysia

Batu tanda dan kata kunci HARAPAN adalah konsensus - kesepakatan. Proses ini bermula apabila pemimpin politik dan aktivis masyarakat daripada pelbagai kaum berkumpul sebagai individu di Kuala Lumpur pada 4 Mac, 2016 bagi melancarkan petisyen “Selamatkan Malaysia”.

Kempen itu berjaya memungut lebih satu juta tandatangan daripada rakyat jelata Malaysia tetapi dipandang sepi dan dipersendakan oleh kerajaan BN dan aparatus serta “apparatchik”nya.

Kejayaan kempen itu membangkitkan semangat rakyat jelata telah memberi petunjuk jelas kepada para pemimpin gerakan tersebut bahawa kesepakatan politik baru boleh diwujudkan sebagai alternatif kepada BN.

Maka bermulalah gerakan politik baru yang berpaksikan konsensus yang menggabungkan kawan dan lawan, sahabat dan musuh dalam satu gagasan baru yang matlamatnya adalah meneruskan agenda “Selamatkan Malaysia”.

Jadi lambat atau cepat penubuhan kabinet baru yang selesai mengangkat sumpah di Istana Negara dua hari lalu (Isnin, 2 Julai) adalah hasil konsensus tersebut.

Memang itulah yang sepatutnya kita fahami dan terima mengenai HARAPAN. Dalam HARAPAN, semua parti anggota adalah sama. Ia berbeza daripada BN yang didominasi oleh Umno.

Kesejagatan dan konsensus HARAPAN ini menjadi lebih luas dan lebih “Malaysian” apabila wakil-wakil daripada parti bukan HARAPAN dari Sabah dilantik menganggotai kabinet persekutuan.

Tongkat azimat

Dalam apa-apa pun bentuk tolak ansur politik pasti ada yang tidak puas hati dan tidak setuju. Tetapi konsesus yang dicapai perlulah dihormati.

Inilah tongkat azimat yang perlu dipegang kuat oleh semua pemuka yang dilantik menganggotai kabinet.

Mereka wajib sentiasa beringat dan berwaspada bahawa mereka adalah produk permuafakatan HARAPAN. Apa yang mereka lakukan akan saling diperhatikan oleh rakan-rakan mereka dalam HARAPAN dan oleh rakyat jelata.

Mereka mewakili politik baru Malaysia. Politik yang lebih sama rata dan egalitarian. Politik yang lebih terangkum dan lebih Malaysia. Politik di mana pengundi dan pembayar cukai adalah raja.

Maka tidak perlulah kerusi tinggi, kata alu-aluan yang berjela dan protokol yang memisahkan Yang Berhormat dengan rakyat jelata. Buang feudalisme dan gantikan dengan egalitarianisme.

Tetapi kalau sebaliknya mereka memilih untuk berebut jawatan, berkomplot dan mencuci kain kotor di khalayak umum, mereka mungkin menjadi menteri satu penggal dan masuk penjara selepas lima tahun.

Khianati mandat rakyat jelata dan mereka akan hukum HARAPAN seperti mereka hukum BN pada 9 Mei lalu.


DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS