Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelukis Najib muka badut: Akhirnya dia rasa apa aku rasa

Hari pertama Datuk Seri Najib Razak didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu menyaksikan kehadiran yang ramai.

Antara mereka adalah pereka grafik, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin yang sebelum ini didakwa di mahkamah kerana melakar bekas perdana menteri itu yang bermuka ‘badut’.

"Mungkin akhirnya dia dapat rasa sendiri apa yang aku rasa semasa berada di bawah pemerintahan dia," kata Mohd Fahmi Reza.

Beliau hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi melihat perjalanan kes tersebut.

Katanya beliau sebelum ini pernah diambil tindakan ketika pemerintahan Najib dan hari ini beliau sendiri mahu mendengar sama ada bekas perdana menteri itu mengaku salah diatas pendakwaan.

Fahmi, 41, sering ditangkap oleh polis berhubung lukisan dan lakarannya. Pada Februari lalu, beliau didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen berhubung karikatur badut yang dimuat naik di Facebook bersama logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Fahmi hari ini memberitahu wartawan kehadirannya bukan sebagai membalas dendam terhadap Najib.

"Tak (datang sebab balas dendam) sebab aku memang ikut kes ini dan juga aku nak dengar sendiri sebab aku berminat sebagai warga negara kita semua berminat nak tahu sama ada kita boleh dapat keadilan.

"Kita mahu semua yang terlibat dalam jenayah korupsi dekat negara ini dibawa ke muka pengadilan.

"Jadi aku di sini untuk dengar dan tengok sendiri sama ada kita boleh dapat keadilan atau tidak," katanya.

Menurutnya, pendakwaan ke atas Najib hari ini, baru di peringkat permulaan.

"Jadi perjuangan ini belum selesai lagi, keadilan belum tercapai lagi. Bagi aku tak perlu kita bersorak gembira sebab belum habis lagi, belum selesai lagi," katanya.

Najib hari ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.
Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan RM1 juta berserta dua penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan supaya pasport biasa dan diplomatik beliau diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Lihat Komen
ADS