Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

Asakan daripada kira-kira 50 penyokong Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini menyaksikan Peguam Negara,Tommy Thomas membatalkan sidang medianya.

Sidang media itu diadakan selepas bekas perdana menteri itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta di mahkamah sesyen dan dibacakan terhadapnya sekali lagi di mahkamah tinggi.

Penyokong Najib mula bersorak ‘bahasa Melayu’ ketika Thomas mula memberi kenyataan kepada wartawan dalam bahasa Inggeris.

Laungan "Hidup Najib" dan "Allahuakhbar" juga bergema.

Thomas, akhirnya memutuskan sidang akhbar yang tidak dijadualkan itu tidak berterusan. Adalah difahamkan bahawa beliau akan berjumpa dengan wartawan di dalam bilik kemudian.

Kakitangan polis akhirnya berjaya memujuk kira-kira 50 penyokong Umno itu supaya meninggalkan kawasan berkenaan.

Antara lain, mereka termasuk Ketua Wanita Umno Datuk Seri Noraini Ahmad, anggota majlis tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan pelakon Ellie Suriaty.

Thomas setelah dilantik sebagai peguam negara awal bulan ini berjanji akan meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaannya.

Beliau berkata dirinya sudah empat dekad menjadi peguam swasta maka kefasihannya dalam bahasa Melayu tidak berada pada tahap sepatutnya.

Ironinya, sebahagian besar sepanduk dan poster yang dibawa oleh penyokong Najib di luar kompleks mahkamah tertera dalam bahasa Cina dan Inggeris.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan suasana di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kecoh sebentar apabila kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak mendesak Peguam Negara Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam bahasa Melayu.

Mereka melaungkan 'Melayu' dan 'Hidup Najib' sehingga menyebabkan sidang media oleh Peguam Negara itu terganggu dan seterusnya dipindahkan ke tingkat 5 bangunan itu. 

Seorang petugas media yang berang dengan provokasi penyokong Najib yang mengganggu  sidang media itu berteriak kepada kumpulan terbabit; "Kami tunggu dah berapa jam, korang bising!  

Antara penyokong Anggota Parlimen Pekan itu yang melakukan provokasi dan kekecohan adalah pelakon Ellie Suriaty, yang diberi amaran oleh polis. Ellie dan beberapa individu lagi kemudiannya dibawa keluar daripada lobi mahkamah itu oleh polis.

Sebelum itu polis telah memberi amaran kepada timbalan ketua Umno Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz kerana menimbulkan provokasi dengan melaung "Hidup Najib" apabila bekas perdana menteri itu memasuki kompleks mahkamah.    

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kekecohan itu dan polis membawa mereka yang terbabit  ke luar perkarangan mahkamah. 

“Mahkamah bukanlah tempat untuk membuat bising dan kami telah mengeluarkan amaran kepada mereka yang membuat kekecohan kecil dalam mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Munusamy berkata polis telah menugaskan seramai 200 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan di kompleks mahkamah itu.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42  juta.

 

Lihat Komen
ADS