Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Meskipun tidak terpilih menjadi menteri, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Nik Nazmi Nik Ahmad akan terus memainkan peranan menggesa pembaharuan dalam isu-isu berkaitan anak muda.

Nama anggota Parlimen Setiawangsa itu antara yang dikaitkan untuk menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.

Malah, sekumpulan pemimpin muda HARAPAN menghantar petisyen kepada pimpinan tertinggi bagi menyatakan sokongan terhadap Nik Nazmi dilantik menjawat jawatan dalam kabinet.

“Bagi saya tidak ada isu (tak dilantik sebagai menteri kabinet).

“Jawatan itu adalah soal nombor dua dan apa yang saya lalui selama ini dengan menjadi wakil rakyat, jadi setiausaha politik menteri besar, jadi timbalan speaker, jadi Exco, jadi ketua angkatan muda, ketua Pemuda HARAPAN itu semua, saya anggap semua itu sebagai bonus,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Nik Nazmi berkata demikian ketika ditanya sama ada dia tidak berkecil hati apabila tidak dilantik menjadi menteri sepertimana timbalannya dalam Majlis Pimpinan Pemuda HARAPAN, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru.

Pada 2 Julai lalu, Syed Saddiq, 26, melakar sejarah apabila dilantik menjadi menteri termuda di Malaysia sekali gus memadam rekod Datuk Seri Najib Razak yang menjadi menteri belia dan sukan ketika berusia 33 tahun.

Nama Nik Nazmi dan Syed Saddiq mula dibanding-bandingkan, bukan saja atas jawatan yang dipegang, tapi juga kebolehan masing-masing.

Pada 8 Mac 2008, ketika berumur 26 tahun, Nik Nazmi yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi calon paling muda memenangi kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 itu.

PRU itu juga menyaksikan pembangkang Pakatan Rakyat - terdiri daripada DAP, PAS dan PKR - menawan lima buah negeri.

Mengimbas ketika awal penglibatannya dalam PKR, Nik Nazmi berkata dia sedikit pun tidak terfikir suatu hari dia akan menjadi wakil rakyat, sebagaimana dia tidak dapat bayangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi perdana menteri.

Lebih menarik, Nik Nazmi turut berkongsi kisah yang hampir serupa dengan kisah Syed Saddiq ketika ketua Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menolak tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford di England untuk terlibat dalam politik.

"Saya mula terlibat dalam politik ketika PKR cuma ada satu kerusi. Waktu itu saya ingat saya terpaksa tinggalkan penaja saya, kerjaya profesional saya, dan bayar balik biasiswa saya.

“Dan masa saya masuk dulu, saya tidak fikir pun untuk menjadi wakil rakyat, malah saya tidak terfikir satu hari nanti Dr Mahathir akan jadi perdana menteri sekali lagi," katanya.

Sedia dikritik

Pada 22 Ogos 2014, Nik Nazmi menang jawatan ketua Pemuda PKR selepas menewaskan pencabarnya Amirudin Shari dan Mohd Nazree Yunus dengan kemenangan tipis melalui pengiraan semula undi.

Kemenangan itu bagaimanapun menjadi jalan sukar baginya setelah semua regunya tewas di tangan kumpulan 'AMK Baru' pimpinan Amirudin. Ketika membuat ucapan sulung dalam kongres tahunan Pemuda PKR, 14 daripada 16 ahli exconya bertindak meninggalkan dewan.

Dua hari selepas itu, melalui beberapa perbincangan, Nik Nazmi kemudian tampil mengadakan sidang media yang dihadiri sebahagian besar exconya. Sidang media itu dilihat sebagai kejayaannya meraih semula sokongan dari kalangan yang tidak puas hati dengan kemenangannya.

Hari ini, bekas pencabarnya, Amirudin merupakan menteri besar Selangor, sementara Nik Nazmi mendapati dirinya sebagai backbencher - anggota parlimen yang tidak memegang jawatan menteri.

Bercakap tentang peranannya, Nik Nazmi menyatakan kesediaan untuk bersikap lantang dan tidak teragak-agak untuk mengkritik pentadbiran Malaysia baru. Dalam masa yang sama, Nik Nazmi turut menyatakan kesediaan untuk menerima kritikan.

"Backbencher memang biasanya lantang dan kadang-kadang lagi lantang daripada pembangkang. Jadi jangan terkejut dengan kelantangan kita mengkritik kerajaan dan sebagainya, sebab ini Malaysia baru.

“Saya juga melihat (kritikan) itu bukan satu masalah dan itu budaya yang sepatutnya kita bawa dalam Malaysia baru, kerana kerajaan tidak tahu segala-galanya.

"Kerajaan juga dibuat oleh manusia yang ada kesilapan dan kekurangan dan oleh sebab itu perlu ada teguran,” katanya, menambah bahawa bukan segala-galanya patut dikritik, namun perlu ada ruang perbahasan bagi setiap isu yang dibangkitkan.

Ditanya pandangannya mengenai wakil rakyat muda yang diangkat sebagai menteri kabinet, Nik Nazmi berkata umur dan pengalaman bukanlah faktor utama.

Malah, jelasnya, dia yakin barisan kepimpinan muda dalam HARAPAN mampu memainkan peranan sebagai menteri yang baik dalam parlimen.

“Kalau nak pengalaman kena buat kali pertamalah, kalau tidak sampai bila-bila tidak ada pengalaman. Tetapi bagi saya ia bukanlah isu yang besar, cuma sekarang bebannya kepada individu yang dipilih sebagai menteri itu.

"Yang penting kita kena gabungkan (antara yang lama dan baru), kita ada orang yang berpengalaman seperti Dr Mahathir dan kita juga ada orang muda seperti Anggota parlimen Batu Prabakaran danSyed Saddiq yang bawa pandangan anak muda. Jadi kita kena ada keseimbangan untuk kedua-duanya.

"Kalau kita hanya bawa anak muda yang tidak berpengalaman kita akan bermasalah. Kalau kita hanya bawa orang yang berpengalaman sahaja, itulah masalah Umno dulu,” katanya.

Ditanya jika dia ada pesan untuk Syed Saddiq, Nik Nazmi sekadar tersenyum mengingatkan agar Menteri Belia dan Sukan itu berhati-hati dan tidak terbawa-bawa amalan lama kerajaan sebelum ini.

“Bagi saya bila kita dah berkuasa ini kita kena berhati-hati seperti ada pepatah menyatakan 'absolute power corrupts absolutely'.

"Jadi sekarang kita berada di kemuncak kuasa tersebut kita tidak mahu terbawa-bawa dengan amalan lama kerajaan sebelum ini, amalan Umno dan sebagainya.

"Dan saya rasa jangkaan rakyat terhadap HARAPAN termasuk terhadap Syed Saddiq sangat tinggi untuk melihat perubahan dilakukan,” katanya.

*Temu bual ini turut disertai Normah Goh dan Baharudin Suarnur.

Lihat Komen
ADS