Secara umumnya Islam tidak meletakkan had umur untuk perkahwinan, namun tiada masalah sekiranya had umur dinaikkan cuma undang-undang baharu itu perlu dipastikan tidak bertentangan dengan syarak, maklum pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir, lapor media tempatan.
"Undang-undang yang digubal tentu sekali untuk menjaga kepentingan masyarakat.
"Namun jangan sampai ia mengharamkan perkara yang halal sehinggakan masyarakat merasakan untuk melakukan perkara yang halal menjadi hal yang teruk," katanya sebagaimana dipetik Berita Harian.
Nidzam berkata mahkamah berkuasa membuat pertimbangan dalam memberi kebenaran perkahwinan bawah umur.
Katanya, kebenaran diberikan untuk berkahwin bagi mengelakkan perzinaan mendakwa terdapat 500,00 anak tidak sah taraf direkodkan.
'Situasi zaman Nabi tak sama'
"Di sini kita bukan ingin menggalakkan perkahwinan pada usia awal. Namun jika sudah mempunyai pasangan dan ingin berkahwin awal, ada ruang yang diberikan dengan kuasa mahkamah.
"Ruang yang ada juga kerana adalah perkara lebih besar, iaitu mengelakkan perzinaan dan kelahiran anak tidak sah taraf yang mencatatkan lebih 500,000 anak tidak sah taraf direkodkan dari 2005 hingga 2015," dakwanya.
Dalam laporan sama, beliau juga berkata perkahwinan bawah umur pada zaman sekarang tidak boleh disamakan dengan pernikahan Nabi Muhammad SAW dengan isterisnya, Siti Aisyah RA.
Katanya, wujud khilaf usia sebenar Siti Aisyah ketika bernikah dengan Rasulullah sama ada ketika Siti Aisyah berumur enam tahun atau 14 tahun.
"Kita tidak tahu fizikal dan tubuh Siti Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW.
"Pada zaman itu, tiada undang-undang menghalang, manakala masyarakat Arab juga menerimanya.
Sunnah terpencil
"Jadi pernikahan Rasulullah SAW itu tidak boleh dibawa kepada situasi zaman sekarang. Malah ia boleh dianggap sunnah terpencil untuk diikuti," katanya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengulas isu perkahwinan budak perempuan berumur 11 tahun yang dikatakan warga Thailand dengan lelaki berusia 41 di Kelantan itu berkata pernikahan tersebut tidak sah dari segi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan mahkamah syariah.
Dalam pada itu, beliau dilaporkan berkata kes perkahwinan tersebut perlu dilihat secara holistik sama ada terdapat unsur-unsur seperti pedofilia, eksploitasi kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.
Jelas Dr Wan Azizah lagi, sudah tiba masa untuk menaikkan had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
Manakala itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengulas isu sama juga dilaporkan memaklumkan konsep wali dalam perkahwinan seharusnya menjadi pelindung dan tidak memangsakan anaknya dengan menikahkannya tanpa rela atas faktor kemiskinan.
