Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khutbah: Rakyat wajib taat kepada pemerintah
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 2:48 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

KHUTBAH | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyeru rakyat agar menunjukkan contoh baik dengan mentaati pemerintah dan negara.

Mimbar berkata negara hari ini menyaksikan pembentukan kepimpinan barisan kabinet baru yang akan menentukan arah tadbir demi keamanan dan pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.

Menurut mimbar, penting untuk semua rakyat menghormati pemimpin kerana ia selaras dengan pandangan disepakati majoriti ulama - tafsir, fuqaha dan sebagainya - yang menyifatkan rakyat menderhaka kepada pemerintah bermakna mereka menderhaka terhadap Allah SWT.

"Justeru sebagai rakyat, kita wajib mentaati pemimpin yang adil sebagaimana disepakati majoriti ulama tafsir dan fuqaha," teks khutbah itu dipetik.

Memetik Surah an-Nisa ayat 59, kata mimbar ketaatan rakyat itu dituntut kerana jika tidak mereka akan dianggap tidak beradab di sisi Allah.

"Rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka cuai dan tidak bertanggungjawab, maka mereka tidak beradab di sisi Allah.

"Inilah tugas rakyat yang paling asas terhadap pemimpin seperti yang difirmankan Allah melalui ayat tersebut," kata mimbar.

Khutbah bertajuk Tanggungjawab Kepimpinan itu sempena pemerintahan Malaysia baru selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Pada masa yang sama, mimbar berkata hubungan antara umara’ (pemerintah) dan ulama sememangnya tidak wajar dipisahkan.

Bahkan kata mimbar umara’ perlu menjadikan ulama sebagai rujukan semasa menjalankan sistem pemerintahan atau melantik ulama iaitu para cendekiawan muslim, lebih-lebih lagi dalam urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

"Banyak hal dalam pentadbiran negara yang memerlukan kepada pandangan dan ijtihad ulama. Di sinilah pentingnya hubungan akrab antara dua institusi ini,' kata mimbar.

Lihat Komen
ADS