Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tommy cakap bahasa apa masa jadi peguam PAS, soal peguam
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 3:15 PM
â‹…
Dikemaskini: 10:28 AM

Penguasaan Bahasa Melayu Peguam Negara, Tommy Thomas yang dikatakan lemah terus menjadi topik perbincangan.

Dalam hantaran Twitter petang ini, Anggota Majlis Tertinggi PKR Latheefa Koya menyindir PAS yang memperlekehkan Thomas.

"Aku nak tanya PAS masa 2010 melantik Tommy mewakili kerajaan Kelantan bagi memfailkan tuntutan royalti petroleum di mahkamah, tommy cakap bahasa apa ya?" katanya yang juga adalah pengasas Lawyers For Liberty.

Latheefa mengulas kenyataan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali yang mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Thomas membuktikan Pakatan Harapan meminggirkan bahasa Melayu.

Beliau merujuk kepada penggunaan bahasa Cina  oleh Lim dalam kenyataan medianya dan Thomas yang memohon kelulusan mahkamah untuk melakukan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam bahasa Inggeris.

Khairuddin berkata, kerajaan HARAPAN mesti menunjukkan kesungguhan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Menurutnya, mereka tidak seharusnya memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa HARAPAN telah meruntuhkan tonggak asas bernegara yang telah dipersetujui oleh semua kaum.

Selepas Najib didakwa pada hari Rabu, Thomas terpaksa mengalihkan sidang akhbarnya ke lokasi lain selepas penyokong bekas perdana menteri itu menuntut agar beliau bercakap dalam bahasa Melayu.

Thomas juga pernah mewakili kerajaan negeri Terengganu yang diketuai PAS ketika memfailkan tuntutan mahkamah terhadap syarikat minyak negara Petronas dan kerajaan persekutuan pada bulan Mac 2001 kerana melanggar kontrak berhubung pemberhentian bayaran secara tunai untuk royalti minyak kepada kerajaan negeri.

Terdahulu, bekas penasihat sosio-budaya kepada kerajaan Tan Sri Rais Yatim berkata, Thomas harus mengasah kemahiran berbahasa Melayu dan mula bertutur dalam bahasa itu dalam urusan melibatkan kerajaan dan mahkamah.

Katanya, perkara itu perlu berdasarkan peruntukan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan menggunakan bahasa Melayu semasa melaksanakan urusan rasmi kerajaan.

Lihat Komen
ADS