story images
story images
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Dengan enam wanita menjadi menteri penuh dan empat timbalan menteri, pengkritik Pakatan Harapan (HARAPAN) begitu cepat menunjukkan kegagalan kerajaan memenuhi janji pilihan raya untuk mempunyai 30 peratus wanita yang dilantik ke dalam jemaah menteri.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, seperti kebanyakan pemimpin wanita HARAPAN, percaya mereka telah mencapai kemajuan yang besar dan berusaha keras untuk mencapai sasaran pada pilihan raya akan datang.

Lebih daripada sekadar angka, Yeo melahirkan harapan supaya lebih ramai orang akan sedar betapa perwakilan wanita yang lebih besar di peringkat pembuatan keputusan dapat memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan.

"Bagi saya mempunyai (hak) kesaksamaan gender atau lebih banyak perwakilan perempuan tidak hanya mengenai hak wanita, tetapi ia berkaitan dengan pembuatan keputusan yang lebih baik," kata Yeo memberitahu Malaysiakini dalam wawancara di pejabatnya.

Inspirasi Rosa Parks

"Terdapat banyak kajian yang menunjukkan apabila terdapat lebih banyak kepelbagaian dalam proses membuat keputusan, keputusan yang lebih baik dapat dihasilkan," kata ahli politik DAP berusia 35 tahun yang menyebut aktivis pergerakan hak asasi AS, Rosa Parks sebagai salah satu inspirasi peribadi beliau untuk terus bercakap mengenai kesaksamaan.

"Sekiranya beliau (Rosa) boleh melakukannya, saya juga boleh melakukannya," kata anak kelahiran Johor yang menang kerusi Parlimen Bakri dengan majoriti 23,211, majoriti tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah kawasan itu.

Mengulas sesi parlimen baru yang bakal bermula pada 16 Julai akan datang, Yeo berkata beliau tidak sabar-sabar untuk (melihat) perubahan yang terhasil daripada perwakilan wanita yang secara keseluruhannya lebih besar di Parlimen.

"Dengan 20 peratus wanita di Kabinet sekarang, saya fikir lelaki perlu menjaga kata-kata mereka ...," katanya yang merujuk kepada serangan lisan lalu dan kenyataan seksis yang diungkapkan terhadap penggubal undang-undang perempuan di parlimen.

Antara lain, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang berulang kali mengundang kontroversi susulan ucapannya, termasuk sindiran "bocor" yang diarahkan kepada bekas anggota parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan lebih 10 tahun lalu. Ini kerana dalam PRU14 lalu, Bung Mokhtar sekali lagi mempertahankan kerusi parlimen Kinabatangan bagi penggal yang kelima.

Sebagai menteri wanita paling muda di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, Yeo berkata beliau pasti perlu membuktikan keupayaannya dan perlu mencapai lebih banyak kejayaan.

"Tiada kata-kata yang boleh mempertahankan diri anda (daripada kritikan) melainkan dengan (amalan) perbuatan anda sendiri. Apa yang saya mahu lakukan adalah membuat perubahan di negara saya.

"Ini adalah minat saya dan saya tahu hal ini dengan baik," kata Yeo yang memiliki Sarjana Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Lanjutan Kimia dari Cambridge University.

Yeo juga berkata walaupun ketika belum disahkan secara rasmi akan dilantik ke jawatan itu, namun beliau tetap mempersiapkan diri "andainya ia berlaku."

"Lebih baik saya bersedia daripada tidak bersedia," kata Yeo yang bertegas beliau tidak melobi untuk pelantikan itu dan oleh yang demikian tiada keperluan baginya mempertahankan diri daripada pengkritik.

"Hati saya cukup berdebar-debar," kata Yeo mengenang kembali saat beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan khabar angin tentang pelantikannya yang beliau sifatkan sebagai "berita palsu".

Dalam keterujaannya, Yeo berkata beliau tidak begitu pasti telah mendengar Mahathir dengan betul dan hanya selepas beliau menerima panggilan lain daripada Pejabat Perdana Menteri meminta beliau hadir majlis istiadat sumpah pada 2 Julai, barulah segala keraguannya menghilang.

Sejurus selepas menghadiri istiadat di hadapan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, Yeo masuk bekerja untuk hari pertama di pejabatnya dan sejak hari itu kerja itu tidak pernah berhenti.

Jurutera kimia

"Saya membaca semua pelan tindakan kementerian, rancangan strategik mereka ... saya perlu masuk dengan mata saya terbuka ... Saya membaca hampir semua perkara yang boleh dibaca," katanya menceritakan pengalaman pada minggu pertama beliau di pejabat.

Dalam wawancara Malaysiakini juga, beliau bercakap mengenai latar belakangnya sebagai jurutera kimia dan minatnya menggalakkan minat dalam bidang sains dan teknologi dapat diterjemahkan ke dalam tiga nilai teras pentadbirannya di kementerian berkenaan, iaitu integriti, kecemerlangan dan tumpuan masa hadapan.

Mengenai mesejnya kepada pemimpin wanita muda lain, Yeo berkata mereka harus belajar untuk memperjuangkan keadilan mereka sendiri dan membuktikan pengkritik mereka yang salah.

"Meskipun orang mempunyai prasangka terhadap kamu, jika kamu bekerja keras, jika kamu tahu bidang kamu, akhirnya mereka akan berhenti.

"Jadi saya lebih suka menggunakan perbuatan saya untuk mengatakan saya boleh melakukannya," tegasnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS