Paling Popular
Terkini

SATIRA | Alang-alang sudah dikatakan suka meraban, kamu banyangkan ini: Sebenarnya Rosmah Mansor ialah mangsa sebenar dalam hal yang tersebar luas sekarang ini.

Beliau dimasukkan ke satu jalan cerita yang direka sebagai satu 'pertahanan' jika nanti kisah penyelewengan itu terbongkar. Ia dirancang sejak hari pertama dan kita semua adalah penonton yang terpesona.

Kamu bayangkan, seorang perempuan yang siuman tidak mungkin akan terus-terus meminta tas tangan, misalnya. Seutas mungkin terlalu sedikit. Dua utas mungkin menambah kegembiraan tetapi jika hingga beribu utas tentu saja menimbulkan persoalan akan tahap kesihatan minda pemiliknya.

Kita pasti beliau akan memberikan nasihat apabila mendapati suaminya telah berlebihan membelanjakan wang untuk memenangi hati beliau.

Oleh itu kami simpulkan bahawa semua ini adalah naratif yang direka bagi tujuan pertahanan jika nanti hal ini terdedah. Dan hari ini semuanya telah didedahkan.

Pandangan jauh Najib

Pertahanan pertamanya ialah Najib Razak menjadi mangsa tamak isteri yang beliau cintai. Dia menjadi sang setia yang terkesima dek pancaran jelita wanita yang dicintainya.

Beliau tidak korup dan tentunya beliau adalah mangsa paling malang dalam kes ni.

Yang keduanya ialah tentang betapa arifnya Najib dalam hal pelaburan alternatif. Kita yang telah terbiasa dengan pelaburan bon, saham, hartanah dan beberapa jenis pelaburan arus perdana tentu tahu bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk meraih untung.

Lalu dengan pandangan jauh beliau, Najib melakukan satu pelaburan yang terjamin keuntungannya.

Pelaburan alternatif mungkin kelihatan seperti suatu hal yang gila. Membeli lukisan, misalnya.

Malangnya dalam kes Najib, tidak ada sebarang pelaburan dilakukan melalui karya seni sebegitu. Tas tangan berjenama dan jam tangan adalah sejenis pelaburan yang tidak banyak diketahui ramai.

Beg dan jam tangan yang dibeli oleh Rosmah - jika kita mahu percaya kepada cerita rekaan di atas - adalah dari kumpulan yang terhad.

Ia dibeli dan diniagakan kembali dalam kalangan mereka yang menggemari jenama berkenaan.

Kita yang di luar lingkaran ini tidak akan dapat menggambarkan apa yang berlaku antara mereka. Kita tidak akan faham betapa gilanya mereka terhadap barangan tersebut dan betapa mereka akan melakukan apa saja untuk memilikinya.

Siapa yang faham - kamu tanya.

Najib Razak, kami jawab.

Ditipu pemimpin

Sebab jika kamu dengar penjelasan Amar Singh, ketua pegawai penyiasat kes berkenaan, jumlah pelaburan sebanyak RM440 juta itu kini bernilai RM1.1 bilion.

KWSP, PNB, Tabung Haji dan beberapa institusi pelaburan kerajaan yang gagal mencatat untung besar - atau apa lagi kalau rugi - walaupun mempunyai banyak pakar ekonomi sekarang ini patut belajar daripada Najib Razak.

KWSP rugi RM6.09 bilion sedangkan Najib untung lebih dari 100 peratus daripada pelaburannya.

Sepatutnya wang berkenaan diberikan kepada Najib untuk dilaburkan.

Jangan pandang pelaburan dalam seni dengan sebelah mata. Pada masa sama, kerajaan sangat tidak patut melantik orang yang tak tahu seni sebagai menterinya.

Ketiga dan konklusinya ialah, betapa Rosmah sebenarnya mangsa rancangan jahat Najib ketika Najib hanya ada rancangan yang baik-baik saja demi untuk kemajuan negara ini.

Kedua-dua mereka telah disalah anggap dan menjadi mangsa Mahathir yang kita semua tahu telah memanjarakan seteru politiknya yang lalu. Dan kita tahu memang menjadi tabiat besar Mahathir untuk menbuang sesiapa saja yang menentangnya.

Kalaulah saja Pakatan Harapan tidak menang dan Najib masih perdana menteri, tentu kita sekarang berada hanya beberapa langkah untuk menjadi rakyat sebuah negara maju dan terbuka.

Malang benar nasib kita ditipu pemimpin, lepas satu, satu...

Sigh.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana, juga jurugambar amatur serta kaki rambu yang (orang kata) tak tahu nak balik rumah.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

  • Semua gambar yang dipaparkan dalam ruangan ini bertujuan sebagai imej hiasan semata-mata, kecuali dinyatakan sebaliknya.
Lihat Komen
ADS