Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pada pemilihan PKR akan datang, anggota PKR berdepan dilema sama ada memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presidennya.

Walaupun kedudukan Anwar sebagai pemimpin PKR tidak dipersoalkan, beliau hanya memegang jawatan yang dipilih tanpa undian - ketua umum - sepanjang dekad lalu.

Percubaan sebelum ini untuknya mengambil alih jawatan presiden daripada isterinya berdepan kekangan undang-undang ekoran pemenjaraan dan kes Liwat II.

Namun jalan Anwar kini terbuka luas selepas menerima pengampunan diraja Mei lalu.

Wan Azizah sendiri telah berkata akan memberi laluan jika suaminya mahu bertanding untuk jawatan itu.

Namun bagi anggota PKR ia bukan pilihan yang mudah mahupun jelas - tidak seperti yang dijangka.

Di sebalik ketegasan Wan Azizah bahawa tiada perpecahan dalam parti itu dalam soal memilihnya atau Anwar, tetap ada yang mahu beliau kekal sebagai presiden.

Sebagai penghormatan

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kumpulan itu merasakan Wan Azizah patut diberi penghormatan untuk meneruskan tugas itu bagi penggal terakhirnya.

PKR hanya membenarkan jawatan presiden dipegang untuk dua penggal sahaja.

"Kami menjadi blok terbesar dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan itu menunjukkan rekodnya (sebagai) presiden. Ada pandangan dalaman mengatakan jika Wan Azizah mahu meneruskannya, penghormatan itu wajar diberikan.

"Lagipun beliau hanya tinggal satu penggal lagi," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 6 Julai lalu.

Naib Presiden Tian Chua juga memberikan pandangan sama - Wan Azizah perlu diberi penghormatan itu.

"Kita tak boleh melayan beliau hanya sebagai pengganti sementara kepada Anwar. (Tetapi) ia bergantung kepada keputusannya," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Saifuddin berkata ada juga pihak dalam parti mengatakan Wan Azizah sudah mencapai misinya sebagai presiden dan sudah tiba masa untuk menyerahkannya kepada Anwar.

Jejas jawatan TPM?

Anwar sebagai presiden membangkitkan persoalan sama ada ia akan memberi kesan kepada kedudukan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri.

Di demokrasi Barat, ketua kerajaan biasanya meletakkan jawatan jika mereka hilang kedudukan dalam parti.

Namun penganalisis politik Faisal Hazis berkata ia tidak seharusnya memberikan masalah kepada Wan Azizah.

"Saya tidak fikir ia memberi masalah kepada kedudukannya dalam kabinet.

"Beliau di sana untuk mewakili PKR sebelum pembebasan Anwar," kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, tidak perlu ada tekanan untuk Wan Azizah melepaskan jawatan timbalan perdana menteri sehinggalah rancangan peralihan kuasa dariapada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar berlaku.

Pada masa ini, tiada masa tertentu ditetapkan bagi peralihan itu, atau petanda yang ia akan terjadi tak lama lagi.

Anwar berulang kali menegaskan beliau tidak terburu-buru untuk menyertai kerajaan dan menggesa PKR memberi sokongan penuh kepada pentadbiran Mahathir.

Pemilihan PKR dijangka bermula akhir Ogos ini. Semua anggota parti dibenarkan untuk mengundi.

Menurut Saifuddin, PKR kini mempunyai 800,000 anggota dengan 300,000 anggota baru selepas PRU ke-14.

Anwar sebelum ini pernah cuba bertanding jawatan presiden parti dua kali.

Pada 2007, beliau menarik diri selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengancam untuk mengharamkan PKR. Ini kerana beliau ketika itu masih dalam tempoh larangan memegang jawatan politik selama lima tahun susulan pembebasannya pada 2004.

Pada tahun sama, kongres PKR meluluskan usul untuk melantiknya sebagai ketua umum.

Anwar juga membatalkan hasrat bertanding pada 2014 selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah dalam kes Liwat II.


Laporan oleh KOW GAH CHIE, SHAKIRA BUANG, dan ZIKRI KAMARULZAMAN.

Lihat Komen
ADS