Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LGBT: Kenyataan Mujahid diputar belit
Diterbitkan:  Jul 8, 2018 6:24 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Pengarah Syariah AMANAH Zolkharnain Abidin berkata memang tidak wajar memberi pengiktirafan kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tetapi itu tidak bermakna hak mereka boleh dinafikan.

Beliau membidas kecaman sesetengah pihak, termasuk pemimpin PAS, terhadap kenyataan Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung perkara itu.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini beberapa hari lalu, Mujahid berkata golongan LGBT tetap mempunyai hak sebagai warga negara selagi tidak mencabar undang-undang negara.

"Dialog bukan bermakna menyokong. Kita tak sokong LGBT...Tetapi dengan dialog kita akan dapat banyak faedah untuk saya jelaskan pada mereka," kata Mujahid yang juga naib presiden AMANAH.

Zolkharnain berkata kenyataan Mujahid itu sudah jelas tetapi diputarbelitkan sesetengah pihak.

"Menteri sudah membuat kenyataan jelas tidak mengiktiraf LGBT, bukan seperti yang diputarbelit sebahagian pentaksub PAS yang merasakan diri mereka suci, kononnya kerajaan HARAPAN mengiktiraf mereka.

"Namun hak mereka sebagai warganegara dan manusia dalam batas yang tidak menimbulkan mudarat umum tidak boleh dinafikan," katanya lagi dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebelum ini mengecam Mujahid dan menyifatkan kenyataannya sebagai pengiktirafan kepada LGBT.

Sama ada secara terbuka atau tertutup, kata Khairuddin, perlakuan LGBT menyalahi undang-undang negara, antaranya menurut Seksyen 377 Kanun Keseksaan mengenai 'seks luar tabii'.

Zolkharnain berkata, pengiktirafan - seperti di sejumlah negara Barat - antaranya bermaksud menjadikan perkahwinan mereka sah di sisi undang-undang serta mewujudkan kemudahan awam khusus untuk golongan itu.

"Malaysia tak akan mengiktiraf LGBT kerana ia bercanggah dengan pemerintahan HARAPAN yang berpaksikan maqasid syariah," katanya.

Sedangkan, katanya lagi, orientasi LGBT bercanggah dengan salah satu prinsip maqasid syariah iaitu memelihara keturunan dan nyawa kerana ia menyekat perkembangan keturunan dan meningkatkan risiko penyakit seksual.
 

Lihat Komen
ADS