Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu penggunaan bubu naga mungkin dibawa ke kabinet
Diterbitkan:  Jul 9, 2018 2:32 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mempertimbangkan untuk membawa kepada Kabinet isu penggunaan bubu naga yang semakin berleluasa di beberapa negeri bagi memastikan masalah itu diselesaikan segera.

Menteri berkenaan, Salahuddin Ayub berkata pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan mengadakan perbincangan segera di peringkat kementerian, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Mereka ini (yang terlibat) tiada lesen dan mengancam mata pencarian nelayan... mungkin ada kartel atau kumpulan yang dilihat atau mengusahakan (aktiviti bubu naga) secara haram.

“Jika isu ini memerlukan tindakan yang lebih kukuh, maka saya akan membuat perbincangan di peringkat Kabinet sama ada ia memerlukan penglibatan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk disepadukan supaya isu ini dapati diatasi dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Interaksi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Nelayan di Jeti Projek Pemasaran Ikan Dana Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Manjung Utara di Pantai Remis dekat Manjung hari ini.

Salahuddin berkata isu bubu naga tersebut semakin berleluasa sejak dua tahun lalu di beberapa negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Perlis dan beliau mahu masalah tersebut diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Kita harus meletakkan tempoh masa yang jelas dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status lesen pukat kenka (pukat tunda yang diubah suai dan ditunda menggunakan dua bot) yang akan tamat pada tahun 2020, Salahuddin berkata beliau sedang menunggu laporan penuh daripada DOF.

“Apa-apa dalam perbincangan dan pertimbangan akan diputuskan setelah mendapat laporan penuh daripada DOF kerana kita tidak mahu menzalimi atau tidak berpihak kepada yang benar,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin turut menasihati nelayan khususnya nelayan laut dalam untuk sentiasa menjaga etika dan peka ketika berada di laut supaya tidak melepasi atau berada di sempadan perairan sehingga ditahan pihak berkuasa negara asing.

Beliau berkata sekiranya bot nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa asing, kerajaan akan membantu melalui saluran diplomatik untuk membebas atau memulangkan bot nelayan namun ia bergantung kepada undang-undang negara tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS