Petronas tidak bayar zakat perniagaan
Petroleum Nasional Berhad (Petronas) tidak pernah membayar zakat kepada mana-mana badan agama negeri atau pihak yang layak menerima zakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamad.
Sebaliknya kata beliau, Petronas hanya membuat pembayaran cukai syarikat dan cukai pendapatan petroleum kepada kerajaan.
"Petronas yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan melalui Menteri Kewangan diperbadankan dan membayar cukai keuntungannya seperti syarikat lain," katanya.
Menurut laporan Bernama, Mustapha berkata, kerajaan menyerahkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi menentukan sama ada perlu atau tidak bagi syarikat Petronas membayar zakat perniagaan.
Katanya, setakat ini jawatankuasa itu belum membuat keputusan sama ada wajib atau tidak bagi Petronas membayar zakat berkenaan.
"Jawatankuasa fatwa sedang mengumpul maklumat mengenai Petronas," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohamed Hayati Othman (PAS-Pendang) mengenai jumlah zakat perniagaan yang dibayar Petronas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mustapa berkata sejak mula beroperasi sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun ini, sebanyak RM110.8 bilion disumbangkan oleh Petronas dalam bentuk cukai kepada kerajaan.
"Sumbangan ini adalah dalam lingkungan 45 peratus daripada sumbangan Petronas kepada kerajaan," katanya.
Beliau berkata sumbangan lain adalah dalam bentuk dividen iaitu sebanyak 30 peratus, royalti 20 peratus dan duti eksport lima peratus.