Paling Popular
Terkini

Umno akan terus bersuara bagi mengimbangi kerajaan sedia ada memandangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bukan malaikat yang tidak berbuat salah, kata ketua pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Kita akan jadi pembangkang berwibawa. Pemuda harus ke depan membawa suara hati dan denyut hati rakyat supaya kita menjadi pengimbang kepada kerajaan yang ada.

"Sebab kerajaan yang ada kini bukanlah malaikat - tak ada dosa atau kesalahan. Mereka orang biasa.

"Tak sampai 100 hari mereka banyak sentuh isu fundamental negara, agama, perlembagaan, tadbir urus yang hakikatnya menyerlahkan Pemuda Umno untuk mainkan peranan suara rakyat bagi tujuan sedemikian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Sejak membentuk kerajaan, HARAPAN berdepan beberapa tuduhan pembangkang yang didakwa tidak menghormati perlembagaan.

Antaranya isu membabitkan bekas ahli Penasihat Kerajaan, Datuk A Kadir Jasin yang didakwa menghina Institusi diraja apabila mengkritik perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas menerima kecaman, Kadir meletakkan jawatannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan dan mengatakan langkah itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

Selain itu, isu membabitkan bahasa Melayu turut menjadi modal kepada pembangkang untuk menyerang dasar kerajaan berikutan tindakan menteri kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan media tambahan dalam bahasa Cina.

Bagaimanapun, Lim menegaskan bahawa beliau tetap mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Terbaru, tindakan peguam negara, Tommy Thomas yang mahu menggunakan bahasa Inggeris ketika sidang media di mahkamah, turut menerima kritikan hebat sama ada oleh Umno mahupun PAS.

Sementara itu, isu membabitkan agama sekali lagi memanaskan suhu politik negara apabila bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menggesa agar sekolah tahfiz ditutup.

Pandangan Zam dangkal

Mengulas mengenai gesaan Zam itu, Asyraf berkata pandangan tersebut amat dangkal dan tidak boleh diterima kerana ia seolah-olah mencabar keputusan Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa agama negeri.

“Hujah yang diletakkan untuk menghapuskan atau menutup sekolah tahfiz ini tidak kuat bahkah bagi saya amat dangkal sekali kerana pandangan mengatakan bahawa ia tidak mampu melahirkan generasi baru Islam yang baik dan seimbang,” katanya.

Katanya, sekolah tahfiz sepatutnya diperkasa ke arah lebih baik seperti dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini dan bukan dengan cara menutupnya.

"Kerajaan BN telah merangka satu blue print yang jelas bagaimana generasi tahfiz ini kita bina, seperti generasi hufaz.

"Hufaz bukan sahaja hafiz 30 juzuk al-Quran tapi mereka mempunyai penguasaan disiplin ilmu dan mempunyai kemahiran dalam pelbagai aspek teknikal dan vokasional.

"Kita perkenal pelbagai aliran, ada profesional, aliran agama dan vokasional. Itu hasrat BN sebelum ini," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS