Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Firma tukang emas Lubnan saman Rosmah
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 8:06 AM
Dikemaskini: 6:25 AM

Seorang tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, dan dirampas oleh polis pada Mei.

Dalam dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Dalam pernyataan tuntutannya, firma yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa Rosmah adalah pelanggan lama, dan syarikat itu juga menjual barangan kemas di seluruh dunia, termasuk kepada keluarga diraja.

Global Royalty mendakwa seperti pada tahun-tahun sebelumnya, firma itu akan menghantar barangan kemas kepada Rosmah mengikut permintaannya untuk dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

Firma itu berkata barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan.

Global Royalty mendakwa bahawa ada kalanya, Rosmah akan meminjam barang kemas itu, dan dia atau ejennya akan menerima barangan berkenaan di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Firma itu mendakwa bahawa memorandum penyerahan akan mengiringi hantaran atau konsainan barangan kemas, yang menerangkan terma dan syarat.

'Rosmah akui terima barangan'

Global Royalty, menerusi memorandum bernombor 926 bertarikh 10 Feb tahun ini, telah menghantar 44 unit barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, setiap satu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000.

Firma itu mendakwa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei, mengakui menerima barangan berkenaan.

"Beliau mengakui secara bertulis mengenai penerimaan konsainan itu, tetapi tidak lagi dalam jagaannya kerana ia dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia," kata kenyataan tuntutan itu.

Terma dan syarat memorandum itu termasuk penghantaran dan pemulangan barangan kemas, dan bahawa hak milik barangan berkenaan tetap dengan firma tersebut.

Dalam tuntutan itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barangan kemas tersebut.

Firma itu juga memohon perintah mandatori supaya barangan berkenaan dikembalikan atau secara alternatif, jika ia tidak dapat dipulangkan, Rosmah wajar membayar jumlah yang dinyatakan berdasarkan nilai barangan kemas tersebut.

Pengurusan kes mengenai tuntutan itu akan diadakan hari ini.

Pada Mei lalu, polis menyerbu dan merampas wang tunai dan barangan kemas dari dua unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Pada 4 Julai lalu, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan dana yang melibatkan SRC International.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut isteri bekas perdana menteri itu memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur un lalu dengan menamakan isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu selaku defendan tunggal.

Media memperoleh dokumen itu hari ini selepas pengurusan kes di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Siti Faraziana Zainuddin yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy.

Narkunavathy ketika ditemui pemberita berkata Jabatan Peguam Negara memohon untuk menjadi pencelah dalam kes saman berkenaan atas alasan kesemua barang kemas yang dirampas adalah milik kerajaan Malaysia dan ia dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Beliau berkata mahkamah turut memerintahkan Rosmah memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 23 Julai dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 27 Julai.

Dalam pernyataan tuntutan, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa mendakwa menjadi kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya, syarikat itu akan menghantar barangan kemas kepada Rosmah, yang merupakan pelanggan tetap syarikat itu mengikut permintaannya untuk dipilih serta dinilai dan defendan akan membeli barang kemas yang telah dipilih melalui pembayaran sama ada daripada defendan sendiri atau oleh pihak ketiga.

Syarikat itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan kaya dari seluruh dunia mendakwa barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan dan ada kalanya dalam keadaan tertentu Rosmah juga akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Plaintif mendakwa defendan akan menerima barangan kemas daripada syarikat itu melalui defendan sendiri atau pekerja/ejennya di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Syarikat itu juga mendakwa pada 10 Feb lepas, pihaknya telah menyerahkan 44 unit barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejen syarikat itu.

Plaintif berkata semasa serahan itu, defendan juga menerima terma dan syarat yang dinyatakan dalam Memorandum bernombor 926 berkaitan senarai barang kemas itu.

Global Royalti mendakwa Rosmah melalui surat bertarikh 22 Mei lepas mengesahkan dan mengakui penerimaan barangan berkenaan dan defendan secara bertulis pada tarikh sama turut mengesahkan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam milikannya tetapi disita dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Syarikat itu mendakwa pada setiap masa material, plaintif adalah pemilik kepada barang kemas tersebut dan hak pemilikan itu tidak pernah berpindah kepada defendan.

Dalam tuntutan itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barangan kemas itu selain memohon perintah bahawa hak milik barang kemas itu tidak berpindah kepada defendan.

Syarikat itu juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah memberikan senarai sitaan barang kemas berkenaan dan memohon perintah supaya barang kemas dikembalikan atau sekiranya barang-barang itu tidak dapat dipulangkan, Rosmah bertanggungjawab untuk membayar barang kemas itu berjumlah AS$14.79 juta (RM59.831 juta).

Lihat Komen
ADS