Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekema gesa mansuh yuran RM10,000 AP kereta import

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menggesa kerajaan memansuhkan yuran RM10,000 untuk Permit Import Terbuka (AP) bagi setiap kenderaan import yang menurutnya membebankan pembeli serta penjual.

“Itu yang kita bincang tapi terserah pada kerajaan.

"Kita mohon yuran RM10,000 AP dimansuhkan sebab untuk makluman, AP kereta kita ini, untuk buka AP sahaja kena bayar yuran, (dan) ada lebih 800 jenis AP dalam Malaysia," kata presidennya Datuk Zainuddin Abdul Rahman.

Zainuddin berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bersama DRB-Hicom Bhd Persatuan Pengimport dan dan Zhejiang Geely Holding Group Co, LTD (Geely) di Menara Ilham, hari ini.

Selain itu, Zainuddin turut mendakwa bahawa janji kerajaan dalam pentadbiran sebelum ini agar 40 peratus daripada hasil kutipan yuran tersebut diberi kepada ahli Pekema tidak dilaksanakan.

“Kerajaan terdahulu pada 2010 berjanji bahawa dari kutipan RM10,000 ini, 40 peratus akan diberikan kepada ahli Pekema untuk naik taraf bilik pameran (kereta), modal perniagaan.

"(Sementara) 40 peratus lagi akan diberikan kepada bumiputera yang ingin menyertai bidang automotif, dan 20 peratus pula kepada Institut Automotif Malaysia (MIA). Bagaimanapun ia tidak berlaku,” katanya.

Dalam sidang media itu, Zainuddin turut menyatakan kebimbangan dengan khabar angin yang mengatakan sistem AP akan dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Tak mudah untuk kerajaan buat macam tu, kalau nak mansuh kena dapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Kenapa hak Melayu termaktub dalam perlembagaan nak dibatalkan? Ini tak adil,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS