Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelabuhan Klang lokasi ideal DFTZ seterusnya

Kerajaan Negeri Selangor mengenal pasti Pelabuhan Klang sebagai lokasi ideal pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) seterusnya selain dapat memperkasakan kedudukan pelabuhan kontena kedua terbesar itu di rantau ASEAN.

Exco Kanan Kerajaan Negeri itu, Datuk Teng Chang Kim berkata DFTZ akan turut melonjakkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan kontena kesepuluh terbesar dunia berbanding tempat ke-12 ketika ini.

Malah, katanya, DFTZ akan memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengeksport produk mereka ke peringkat global menerusi e-dagang.

“DFTZ akan meningkatkan kapasiti unit TEU iaitu bersamaan kontena 20 kaki dan menarik lebih banyak pelaburan dalam kalangan penggiat global selain menjadikan Selangor sebuah hab logistik serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Forum Industri Logistik bertemakan ‘Memperdalamkan Rantaian Bekalan Logistik di Selangor,’ anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris.

Mengulas spekulasi bahawa beberapa pelabur turut berminat membangunkan Pelabuhan Klang sebagai hab e-dagang, Teng berkata kerajaan negeri masih belum menerima sebarang cadangan berkaitan.

"Kita perlu menunggu pelaksanaan DFTZ KLIA terlebih dulu dan hanya selepas itu boleh mengulas mengenai Pelabuhan Klang,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma melancarkan DFTZ pertama dunia di luar China pada tahun lepas yang dapat melipatgandakan kadar pertumbuhan eksport Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia menjelang 2025.

Menerusi DFTZ, Malaysia akan berperanan sebagai pusat e-penunaian serantau dan hab serantau bagi PKS, pasaran dan jenama tunggal.

Sementara itu, ketika berucap, Arham berkata setakat April 2018, MIDA telah meluluskan projek Perkhidmatan Logistik membabitkan pelaburan sebanyak RM5.9 bilion.

Beliau berkata, sebanyak 123 syarikat telah diberi status Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa yang turut memberi mereka Lesen Penghantar Barangan.

Forum Industri Logistik itu dianjurkan dalam usaha menjadikan Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN selain mewujudkan kesedaran terhadap pelbagai inisiatif kerajaan dalam sektor logistik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS