Sebuah syarikat Malaysia sedang berganding bahu dengan rakan niaganya dari China untuk melaksanakan inisiatif penilaian keselamatan bagi rakyat China yang akan berkunjung ke Malaysia.
Ketua pegawai eksekutif Ehsan Dermaga Sdn Bhd (EDSB) Adi Sasteria berkata inisiatif atas arahan kerajaan China itu merupakan sistem praimbasan dan tapisan kerajaan China bagi mengumpul data tentang rakyat negara ini sebelum mereka berkunjung ke Malaysia.
Data ini kemudian akan dikongsi melalui pendekatan sehala dengan kerajaan Malaysia, katanya.
Beliau berkata EDSB, dengan kerjasama China Zhong An Peace Holdings Co Ltd (CZAHP), sebuah syarikat milik kerajaan China, diberi tugas melaksanakan prosedur praimbasan itu terhadap rakyat China yang berhasrat membuat perjalanan ke luar negara.
“Kini, semakin banyak rakyat China melawat Malaysia. Tujuan kami melaksanakan inisiatif ini, antara lain, untuk memastikan keselamatan mereka sentiasa terpelihara dan bagi menarik lebih banyak rakyat China melawat Malaysia.
“Apabila dilaksanakan kelak, rakyat China perlu menjalani proses praimbasan dan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan mereka sebelum membuat perjalanan ke luar negara. Setelah lulus prosedur penilaian praimbasan dan tapisan oleh kerajaan China, barulah mereka boleh memohon visa,” katanya pada majlis taklimat media tentang inisiatif itu di Beijing.
Adi berkata kerajaan China telah melaksanakan prosedur serupa dengan negara lain.
Menurut beliau, sebuah pusat memproses permohonan itu, dikenali sebagai Chinese Citizen Security Assessment Centre to Malaysia (CCSACM), telah ditubuhkan dan dikendalikan CZAHP di lima bandar raya utama China, bagi memudahkan urusan tersebut.
“Bagi Fasa 1, pejabat diwujudkan di Beijing, Shanghai dan Guangzhou, manakala pejabat bagi Fasa2 iaitu di Hong Kong dan Kunming akan diwujudkan kemudian,” katanya.
Pengerusi CZAHP Zhang Yang berkata penilaian juga akan dibuat terhadap industri berkaitan pelancongan, termasuk pengusaha pelancongan, hotel dan destinasi pelancongan.
“Berpandukan hasil penilaian itu, rakyat China akan mendapat lebih banyak maklumat tentang produk pelancongan yang disediakan di Malaysia sebelum mereka melakukan perjalanan ke sana serta membuat perancangan untuk menikmati pengalaman perjalanan lebih menyeronokkan,” katanya.
Beliau bekata kira-kira 598 juta rakyat China membuat perjalanan ke luar negara tahun lepas, meningkat 4.76 peratus daripada tahun sebelumnya.
“Rakyat China adalah antara tiga golongan pelawat utama ke Malaysia,” katanya.
- Bernama
