Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam kecewa Kamal Hisham tak dibebaskan
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 5:11 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Barisan peguam mewakili Kamal Hisham Ja’afar iaitu bekas peguam kerabat Diraja Johor kecewa kerana anak guamnya tidak dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bahru, hari ini, meskipun sudah mendapat pengampunan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung 17 pertuduhan dihadapinya.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mengetuai barisan itu berkata dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan meletakkan syarat untuk pembebasan berkenaan sedangkan dalam surat pengampunan Sultan Johor sebelum ini, tidak dinyatakan apa-apa syarat.

"Pada awalnya anak guam saya dikehendaki mengakui kesalahannya bagi satu daripada 17 pertuduhan dihadapi manakala selebihnya akan digugurkan. Tetapi apabila kami sudah memilih satu daripada pertuduhan itu untuk diakui, anak guam saya pula seolah-olah didesak untuk mengakui bagi semua pertuduhan.

"Ini bercanggah dengan apa yang dipersetujui awal. Malah untuk makluman, Sultan Johor adalah individu yang bertanggungjawab ke atas laporan polis dibuat terhadap Kamal Hisham tetapi sudah menitahkan tertuduh diampunkan tanpa sebarang syarat. Jadi, tiada sebab barisan pihak pendakwaan memperkenalkan syarat baharu,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah, hari ini.

Menurut Shaharudin, berikutan tidak bersetuju dengan syarat terbabit, Kamal Hisham kemudian terpaksa meminta pihaknya memohon kepada mahkamah agar menyambung semula prosiding perbicaraan ke atasnya.

Permohonan itu dibenarkan oleh Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Shaharudin berkata sementara prosiding perbicaraan itu berjalan, pihaknya berusaha akan bertemu dengan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi menyelesaikan isu pembebasan anak guamnya.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron, Zhafran Rahim Hamzah, Shukor Abu Bakar dan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Afif Abdullah manakala pihak pembelaan turut diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abd Aziz dan Hasan Karim.

Kamal Hisham, 47, menghadapi dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM533,000; sembilan pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan nilai hamper RM150,000 dan enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965. Beliau mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Pada 13 Jun lalu, bersempena keberkatan bulan Ramadan, Sultan Ibrahim menyatakan berkenan menerima permohonan maaf daripada Kamal Hisham dan mengampunkannya bagi kesemua kesalahan tanpa apa-apa syarat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS