Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Bukan mudah untuk PKR mencapai tahap sekarang - menjadi parti terbesar dalam Pakatan Harapan.

PKR adalah parti yang lahir daripada perjuangan reformasi 1998 dan perjuangan itulah yang kekal menjadi latar sehingga mewujudkan apa yang kita sebut hari ini sebagai “Malaysia Baharu”.

Sepanjang dua dekad ini, PKR meneroka pelbagai bentuk politik baharu. Tanpa penerokaan itu, mustahil Malaysia baharu dapat diwujudkan.

PKR ibarat sebuah syarikat “venture”, yang penuh dengan “research and development” (R&D).

Tugas berkenaan bukan dilakukan sendiri oleh politikus parti sahaja, tetapi melibatkan sekian banyak kelompok seperti penulis, cendekiawan awam, aktivis, mahasiswa dan anak muda, badan-badan NGO sehinggalah kepada pejuang kaum terpinggir dan perempuan.

Dulu PKR tak berkuasa

Hari ini dalam dunia perniagaan, mungkin kita mengenali kaedah berkenaan sebagai syarikat “start-up”. Ciri-ciri penerokaan idea baharu wujud disebabkan PKR dahulunya tidak mempunyai kuasa.

Oleh itu cukup banyak masa diberikan untuk penerokaan idea baharu dan hanya dengan cara sedemikian, maka PKR boleh terus releven dan bertahan dalam kancah politik Malaysia.

Belum pernah ada sebuah parti yang mempunyai karektor dan keghairahan meneroka idea-idea baharu.

Daripada penerokaan itulah ditemukan kefahaman yang lebih kukuh mengenai demokrasi, kebebasan, hak asasi, pasaran dan ekenomi, kebudayaan dan lain-lain hal yang bersangkutan dengan kenegaraan.

Semua ramuan itu kemudiaannya digabungkan agar sesuai pula dengan selera Malaysia. Tanpa penyesuaian itu, maka semua ramuan yang ada akan hanya sia-sia yang tidak diterima oleh rakyat di negara ini.

Proses cuba dan jaya dilakukan. Ada kalanya berjaya. Ada kalanya gagal. Kesedaran untuk mencari ramuan dan formula berkenaan tidak lain wujud dengan semangat melakukan perubahan.

Sebab itulah PKR tidak boleh dipisahkan daripada laungan “reformasi” dari hari pertama kelahirannya, sampai sekarang.

Tidak dapat dinafikan, parti-parti lain secara diam-diam cuba meniru apa juga ramuan atau formula yang ditemukan oleh PKR. Terutama yang terbukti berkesan dan diterima rakyat.

Peniruan adalah perkara biasa. Dalam industri yang penuh persaingan, misalnya dalam industri teknologi, peniruan tetap wujud.

Lihat sahaja bagaimana kini pengeluar kereta eletrik Tesla, apabila berjaya banyaklah syarikat kereta lama dan baharu yang turut mahu memgeluarkan kereta eletrik sendiri.

'Jurutera dari kilang PKR'

Di dalam proses menciplak dan meniru, sebahagian ‘juruteranya’ berasal daripada ‘kilang PKR’ itu sendiri.

Mereka berpindah tempat kerja kerana biasanya ditawarkan gaji yang lebih lumayan. Dan biasanya soal gaji jugalah yang menyebabkan semangat dan idealisme awal di ‘tempat kerja lama’ akan mati di tempat kerja baharu.

Kita boleh lihat bagaimana pegawai pemasaran Coca-Cola yang dibeli masuk ke syarikat Apple, akhirnya gagal untuk memajukan Apple.

Hanya selepas itu, barulah Apple sedar mereka tidak boleh menyisihkan Steve Jobs sebagai antara pendiri awal Apple. Jobs pun dibawa masuk semula untuk memberikan ruh awal kepada Apple.

Kekuatan PKR kekal sebagai “parti reformasi” kerana seluruh pasukan dan anggota parti itu menerima prinsip membawa perubahan ke arah kebaikan.

Roh reformasi

Mungkin ramai yang boleh berpura-pura mempunyai roh reformasi, tetapi tidak akan sama dengan mereka yang memang lahir di atas perjuangan asalnya. Dilatih dari sana.

Apa yang boleh dilakukan oleh pesaing lain ialah menanam ranjau dan di dalam waktu sama berlagak “lebih reformasi daripada PKR itu sendiri”. Begitulah yang kita lihat daripada banyak jenama tiruan, mereka mahu menjadi lebih tulen daripada jenama asli.

Di sini PKR harus sedar bahawa kekuatan parti ini ialah dapat meraikan demokrasi, dan dalam masa sama tidak sampai berpecah-belah. Sejak awal motto yang tidak terucapkan ialah “bersepakat bertambah kuat”. Motto itu jugalah yang paling sesuai dengan jata negara: “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Dalam beberapa bulan ke depan, pertandingan dalaman parti akan dijalankan. Bukan sekali pertandingan itu dilalui sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini.

Menempek di papan kekuasaan

Sebagaimana tradisi PKR, pertandingan wajar berasaskan tawaran gagasan dan bukan kerana mahu menempek muka di papan kekuasaan.

Dalam bahasa kasar, “kau layak kerana idea dan gagasan, bukan kerana sanggup bermuka tebal dan berpura-pura” sepertimana lazimnya orang politik yang bikin rakyat jelek sebelum era reformasi 1998 dahulu.

Dengan keinsafan ini, maka orang PKR tidak mungkin dipecah-belah sama ada dari sudut mana sekali pun. Termasuklah daripada pesaingnya di luar kerana akhirnya bukan kuasa sahaja yang mampu menyelamat dan mengangkat bangsa.

Tetapi rakyat terbanyak tahu antara yang jujur dengan yang palsu; antara yang sejati dengan yang lain di mulut dan lain pula di hati.

Fitrah manusia memang begitu.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS