Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua rakan didakwa terima rasuah berhubung sijil kematian
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 3:32 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan lebih RM150,000 bagi membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat sijil kematian seorang lelaki, dua tahun lepas.

Abu Noor Abu Samah, 61, dan Noorha Wisma Hisham Abdul Wahab, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Bagi pertuduhan pertama, Abu Noor didakwa menerima rasuah daripada Pengurus Medan Selera Oasis, Jamilah Mohd suatu suapan wang tunai RM30,000 sebagai upah kononnya membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suami Jamilah, atas nama Abu Bakar S.M. Ashmouni kepada Abu Bakar Sulaiman Ashmoni dan kedua-dua nama itu juga mempunyai nombor kad pengenalan yang berbeza.

Abu Noor turut dituduh secara rasuah menerima daripada Jamilah melalui madunya, Norma Che Ali, suatu suapan iaitu cek Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM10,000 atas nama Tangkas Kesuma Sdn Bhd, sebagai upah kononnya untuk membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suami Jamilah dan Norma.

Bagi pertuduhan ketiga, Abu Noor dituduh bersubahat menerima dari Jamilah melalui Norma iaitu suatu suapan iaitu Cek Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM58,000 atas nama YAM TBPIS SEL sebagai upah kononnya untuk membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian atas nama Abu Bakar S.M. Ashmouni kepada Abu Bakar Sulaiman Ashmoni.

Abu Noor didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Pejabat Medan Selera Oasis, di Tingkat 2, Centre Court, Mid Valley Megamall, Lingkaran Syed Putra, di sini, antara 9.45 malam, 10 Okt 2016 dan 12.30 tengah hari, 16 Feb 2016.

Noorha Wisma Hisham pula didakwa atas satu pertuduhan secara rasuah menerima daripada Jamilah, suatu suapan iaitu cek Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM58,000 atas nama YAM TBPIS SEL, sebagai upah kononnya membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suami Jamilah dan Norma.

Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di CIMB Bank Berhad, Jalan Tun Perak, di ibunegara, 18 Feb 2016.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa memohon jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Abu Noor yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan memohon jaminan dikurangkan atas alasan jumlah itu terlalu tinggi dan di luar kemampuan anak guamnya kerana tertuduh kini tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Tertuduh berusia 61 tahun dan dia dijangka akan didakwa di dua mahkamah lagi iaitu di Shah Alam dan Seremban dalam masa terdekat,” katanya.

Peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili Noorha Wisma Hisham turut memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja dan empat orang anak.

Hakim Madihah membenarkan Abu Noor diikat jamin RM30,000 manakala Noorha Wisma Hisham diikat jamin RM15,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS