Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Johor tak pernah lantik ejen EMMJ
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 4:00 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana ejen atau individu untuk mendapatkan bayaran dari orang ramai untuk memperoleh Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menerusi kaedah seperti sewa atau sewa-beli.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad berkata peringatan itu dibuat susulan terdapat sembilan individu menjadi mangsa berhubung mendapatkan kuota RMMJ, baru-baru ini.

Katanya, di dalam kes berkenaan, setiap mangsa diminta untuk membayar RM5,000 bagi menempah RMMJ.

Selesai pembayaran, mangsa akan diberikan surat Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) yang kononnya untuk melayakkan mereka mendapatkan kuota RMMJ.

Bagaimanapun menurut Dzulkefly, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan tidak pernah meminta sebarang bayaran daripada orang ramai bagi menempah RMMJ, apatah lagi mengeluarkan SLMR dalam bentuk surat seperti diperoleh mangsa.

“SUKJ hanya mengeluarkan SLMR dalam bentuk sijil. Oleh itu, laporan polis telah dibuat sejurus kakitangan SUKJ mengesan pemalsuan SLMR daripada mangsa yang datang ke pejabat SUKJ untuk urusan rumah,” katanya kepada dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Pejabat RISDA Johor di Johor Bahru hari ini.

Dzulkfely berkata daripada semakan pihaknya, pemalsuan SLMR itu melibatkan projek rumah kluster dua tingkat RMMJ bernilai RM150,000 di Setia Business Park II, Johor Bahru.

Sementara itu, beliau memberitahu kerajaan telah meluluskan kaedah ‘sistem undian terbuka’ untuk pembahagian Perumahan Rakyat Johor (PRJ).

Katanya, kaedah itu akan pertama kali dijalankan bagi projek di Taman Bandar Putra, Segamat melibatkan 101 unit rumah Pakej B berharga RM80,000 dan projek di Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi yang meliputi 233 unit rumah Pakej A berharga RM42,000.

“Undian akan dibuka kepada bakal pembeli mengikut daerah dan kelayakan. Senarai pembeli menunggu akan diwujudkan 20 peratus daripada unit ditawarkan, bagaimanapun keutamaan akan diberikan kepada bakal pembeli yang telah mendaftar lebih awal,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS