Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Guano boh? Kisah resah pekerja parti HARAPAN Kelantan

ULASAN | Kelantan menjadi negeri paling tenang pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), khususnya selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal kemenangan sebarang kerusi.

Maka dengan kemenangan di peringkat pusat, perjalanan politik HARAPAN Kelantan diharap mendapat sentuhan tertentu yang membolehkan kerja-kerja tadbir urus yang berkaitan kerajaan persekutuan berjalan lancar.

Namun, selepas lebih dua bulan perjalanan Malaysia baru, HARAPAN Kelantan belum diberi mandat tertentu. Ia agak meresahkan khususnya pekerja-pekerja parti.

Setiap kali bersapa dengan mereka saya akan bertanya khabar. Guano boh? (macam mana bos?)

"Boh" adalah kata sapaan yang digunakan orang Kelantan untuk merujuk kepada kenalan biasa yang tidak terlalu akrab.

Harapan belum lunas

Dan sesiapa yang saya tanya itu akan menjawab "bereh". Disusuli dengan perbualan lanjut pelbagai isu berkaitan parti dan isu-isu semasa negeri dan negara.

Ada suara meresahkan, ada harapan yang belum terlunas dan peluang-peluang yang tak tergenggam untuk memeluk bahagia dan nikmat kemenangan parti-parti mereka.

Melalui cerita-cerita sempat didengar, antara lain harapan besar diletakkan adalah agar apa saja 'langkah songsang' kerajaan terdahulu lakukan tidak diamalkan sama sekali untuk mengisi kekalahan HARAPAN di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada pimpinan berjawatan kecil di pelbagai peringkat itu juga khuatir dengan percaturan pimpinan untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan lantikan politik.

Kubu yang dibina BN tidak mudah diruntuhkan di sebalik tembok-tembok perjawatan di segenap agensi-agensi kerajaan yang disuntik dengan rencah kepartian sejak sekian lama.

Biarpun sebahagian pekerja parti-parti HARAPAN Kelantan bukanlah gila jawatan itu atau jawatan ini, hakikatnya mereka juga ada komitmen peribadi, apatah lagi untuk keperluan anak dan isteri.

"Kami buat kerja dengan parti bukan ada gaji tetap walaupun bekerja sepenuh masa, lebih-lebih lago loni (sekarang) selepas PRU14.

"Mengharap belas ihsan rakan-rakan seadanya atau pimpinan yang simpati.

"Kita panas hati juga tengok (di tempat lain) ada segelintir orang yang asalnya dari parti suku sakat diambil jadi pegawai itu pegawai ini," kata seorang kenalan yang sudah menyerah seluruh waktu untuk parti.

Dan selebihnya saya minta mereka bersabar, tenang dan terus memberi sumbangan dan idea untuk memudahkan pimpinan merencana program di peringkat negeri.

Tak kira siang, malam

Di sebalik keluh-kesah yang mungkin dilihat biasa dalam perjuangan parti dan mereka sendiri sedar untuk terus meraduk arus-arus kemungkinan mendatang.

Ketika harapan demi harapan belum bersinar mereka sudah memberi kepercayaan kepada pimpinan HARAPAN agar benar-benar sepakat dalam setiap perkara dan mengatur perancangan selayaknya.

Mereka tentu 'hamba parti' yang tidak kisah jika pada waktu getir kelak, perlu memanjat pokok, menampal poster, angkut kerusi meja dan khemah malah menggempur kubu-kubu parti lawan tidak kira siang atau malam.

Sesudah itu, mereka akan mengucap tahniah sesama sendiri sebagai penghargaan dan penghibur selayaknya.

Nanti apabila kita bertanya "guano boh?", mereka siap untuk senyum dan semuanya "bereh".


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS