Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Telco berhutang RM1.7 juta dengan PBT di Perak

Kerajaan negeri Perak akan mengadakan program pemutihan bagi mengesan syarikat telekomunikasi (telco) yang memasang menara pemancar tetapi tidak membayar lesen kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata sehingga kini dianggarkan jumlah tunggakan bayaran lesen menara pemancar oleh pelbagai syarikat telco kepada PBT adalah sebanyak RM1.7 juta.

"Selepas 31 Julai ini, telco yang masih gagal membayar lesen menara pemancar akan dikenakan tindakan.

"Selain kita nak tahu jumlah menara pemancar yang ada, pemutihan itu juga kita nak tau jumlah menara pemancar yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Internet Malaysia di Kampung Titi Serong dekat Parti Buntar, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata satu akta baharu perlu digubal bagi menggantikan Akta Bahan Lusuh 1946 yang tidak lagi releven dalam usaha membendung kes kecurian kabel.

Berhubung Pusat Internet Malaysia, Hasnul Zulkarnain berharap ia boleh dijadikan pusat operasi media Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang akan dihoskan Perak pada September depan di semua 12 daerah seluruh negeri.

"Kami berbesar hati jika Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menawarkan kemudahan di pusat berkenaan kerana kerajaan negeri kekurangan bajet untuk menyediakan pusat media di setiap daerah," katanya sambil menambah Perak mempunyai 66 Pusat Internet Malaysia.

Sementara itu, Ketua Wilayah Utara SKMM Ismail Othman berkata pihaknya bercadang membina 50 pemancar baharu di wilayah utara tahun ini bagi membolehkan liputan meluas di kawasan yang masih menghadapi masalah liputan rendah.

"Kita juga telah naik taraf kawasan liputan dari 0.6 Megabait (MB) kepada 1MB untuk kemudahan telefon selular," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS