Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC kaji semula semua kes hasutan
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 5:35 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengkaji semula semua kes hasutan yang sedang berjalan susulan dasar semasa oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk, kata Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun Wan Shaharuddin berkata semakan itu hanya akan dilakukan, bagi kes yang telah mengemukakan surat atau representasi sah kepada AGC.

Beliau berkata kajian itu akan dilakukan berdasarkan bukti dan dasar kerajaan baharu, sehubungan itu beliau memohon penangguhan bagi kes rayuan yang difailkan oleh bekas anggota Parlimen N. Surendran.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Surendran tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mengetuai panel tiga hakim menetapkan 31 Ogos bagi pengurusan kes. Dua lagi hakim ialah Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Surendran mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya pada 14 April 2016 untuk merujuk tiga persoalan undang-undang mengenai perlembagaan di bawah Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Sri Ram juga berkata beliau akan mengemukakan representasi kepada AGC dalam masa terdekat.

Wan Shaharuddin memberitahu pemberita pada masa ini terdapat 10 kes yang akan disemak.

Peguam Latheefa Koya yang juga mewakili Surendran berkata kerajaan Pakatan Harapan telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dan undang-undang drakonian lain.

- Bernama

Lihat Komen
ADS