Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papagomo: Umno perlu belajar dari DAP
Diterbitkan:  Jul 13, 2018 10:37 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo menggesa Umno belajar dari DAP cara menjuarai isu rakyat dan dalam masa sama menyembunyikan agenda sebenar.

Azri mendakwa agenda sebenar DAP adalah hak sama rata dan menghapuskan hak bumiputera.

"Dulu DAP terang-terang berkempen sedemikian. Tapi DAP belajar jika mereka mahu menang, maka agenda DAP itu tidak perlu diketengahkan sebaliknya menyimpan agenda itu dan bangun menjuarai isu rakyat.

"Sebab itu orang Melayu pun menyokong DAP kerana mereka tak nampak DAP mahu menghapuskan hak-hak bumiputera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azri juga mendakwa anggota parti DAP masing-masing tahu bahawa agenda parti mereka sejak ditubuhkan hingga kini adalah untuk tidak mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi.

Tambahnya, rakyat hari ini tidak sama dengan rakyat bukan 30 tahun lalu yang terasa kepayahan dan faham agenda perjuangan Umno. Rakyat hari ini, katanya, hanya melihat Umno sebagai parti perkauman.

Dengan tempoh 100 hari bagi HARAPAN untuk menunaikan janji semakin hampir, katanya, Umno kini berpeluang memenangi kembali hati rakyat.

"100 hari adalah peperangan kita yang pertama dan UMNO mesti menjadi juara di mata rakyat," katanya.

Azri berkata demikian sebagai mempertahankan kenyataan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang melalui Twitter, menggesa agar Umno mengambil jalan tengah dan tidak terlalu ekstrim.

Khairy berkata, sejak selesai pemilihan parti, Umno hanya memainkan isu perkauman berhubung pelantikan peguam negara dan hakim dari kalangan bukan Melayu selain mengutip derma bagi tabung untuk bekas presiden Datuk Seri Najib Razak.

Sekiranya perkara itu yang dijadikan modal untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Khairy, Umno patut lupakan niat untuk menawan semula Putrajaya.

Khairy juga menyifatkan tindakan Umno yang mendapat "pukulan maut" dalam PRU ke-14 itu sebagai "pekak" terhadap suara rakyat.

Dalam perkembangan sama, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menggesa agar kritikan Khairy itu akan menggalakkan kepelbagaian pandangan di dalam Umno.

"Kita perlu jujur untuk mengukuhkan parti dan bukan cepat terasa dan tidak boleh ditegur," katanya melalui kenyataan di Twitter petang tadi.

Lihat Komen
ADS