Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu memelihara agama: Di mana silapnya kenyataan saya?

ULASAN | Dalam membicarakan soal maslahah (kepentingan awam), Imam Al-Ghazali memperkenalkan konsep dhoruriyat, hajiyat dan tahsiniyat.

Dalam konteks dhoruriyat tokoh ilmuwan Islam itu menamakan lima perkara teras kepada sesuatu yang merupakan keperluan mandatori bagi mengekalkan kepentingan dan keseimbangan sebuah masyarakat.

Bagi memastikan perkara ini berlangsungan beliau menggunakan istilah hifz (pemeliharaan, atau istilah lebih mudah ialah menjaga).

Menjaga juga bermakna memulihara agar Islam kekal relevan bersesuaian dengan setiap zaman dan setiap tempat tanpa hilang keasliannya.

Ungkapan ha-fi-za boleh juga bermakna memenuhi janji untuk melaksanakan sesuatu.

Walaupun Al-Ghazali menyebut memelihara hukum-hakam syariah dari sudut mengekalkan kewujudan Islam dan mengelak dari kehancurannya, ia tetap tidak bercanggah daripada apa yang saya sebutkan atas beberapa alasan:

  • Memelihara kewujudan Islam dan mengelakkannya daripada hancur, bermakna mengekalkan keunggulan Islam dari sudut prinsip utamanya dalam hubungan antara agama yang tidak memaksa agama lain daripada memeluk Islam. Maka memelihara Islam ialah memelihara kebebasan beragama kepada orang bukan Islam.
  • Jikalau makna hifz ialah memenuhi janji maka memenuhi janji agama Islam membawa konotasi jaminan untuk agama lain bebas diamalkan. Maka memenuhi janji Islam ialah memenuhi kebebasan beragama penganut selain Islam.
  • Jikalau hifz dengan makna memulihara (conserve) ia bermakna melindungi Islam daripada disempitkan dan disalahtafsirkan oleh golongan penjumud yang merosakkan prinsip memberi kebebasan kepada penganut agama lain.
  • Ada yang berhujahkan pengunaan "al" sebagai makna ditakrifkan khusus perkataan ad-din dengan makna hanya agama Islam. Bagaimana pula "al" dalam al-mal, al-nafs, al-aql dan al-i'rd? Adakah kesemua itu hanya untuk menjaga harta orang Islam, akal orang Islam ataukah hanya jiwa orang Islam kerana maslahat paling atas hanya untuk jaga agama Islam sahaja? Ini pastinya tidak konsisten dengan prinsip insaniah yang dijamin oleh Islam.
  • Prinsip universal Islam ialah "tiada paksaan dan untuk melaksanakannya Allah menetapkan kewujudan agama lain sepanjang sejarah manusia. Mengiktiraf kewujudan bukan mengiktirafi kepercayaannya, maka wasilahnya ialah dakwah, dialog dan keadilan merentasi kaum dan agama. Di mana silapnya kenyataan saya jika itu bermakna agama lain terpelihara dari sudut kewujudannya?

Akhirnya sesiapa yang rajin sedikit memerah otaknya untuk membaca penulisan saya dalam buku Islam Dalam Kepelbagaian, Berdialog Dengan Gereja, Melangkah Ke Hadapan dan beratus artikel lain, anda akan memahami apa yang saya maksudkan.

Hanya mendengar beberapa kerat ucapan saya tentang hifz ad-din, bergegar satu Malaya dengan berbagai tuduhan liar ke atas saya.

Lagipun dari sudut siyasah syariyah, Malaysia memperuntukkan agama lain "terjamin dan terpelihara" menurut Perkara 3 (1) dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Saya sebagai eksekutif hanya melaksanakan janji ke atas bukan Islam dalam undang-undang negara.


DATUK DR MUJAHID YUSOF ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS