Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy, Satees nafi sembah AK-47
Diterbitkan:  Jul 14, 2018 5:00 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan ADUN Bagan Dalam Satees Muniandy masing-masing menafikan dakwaan mempromosi keganasan dengan "menyembah" senapang Kalashnikov atau AK-47.

Penafian itu susulan gambar mereka yang dilihat seakan-akan sedang memberi penghormatan kepada gambar AK-47 yang dimuat naik di Facebook oleh seorang pengguna media sosial bernama Zamri Vinoth, Selasa lalu.

"Ramasamy kata kononnya beliau perjuangkan keamanan, jadi kenapa sembah AK-47?Saya nak tanya, adakah AK-47 ini lambang keamanan atau lambang keganasan?

"Kami bukan anti DAP tapi kami antikeganasan tak kira dari kumpulan manapun mereka menyelinap," kata keterangan pada gambar itu.

Menurut Ramasamy, gambar itu memaparkan dirinya dan Satees di tugu peringatan mangsa pembunuhan berama-ramai.

"Ia merupakan majlis yang kami hadiri kira-kira dua atau tiga tahun lalu yang dianjurkan oleh beberapa NGO... Hari peringatan bagi mangsa yang terkorban dalam konflik etnik Sri Lanka atau mangsa pembunuhan beramai-ramai.

"Kami mempromosikan keamanan, bukan keganasan," katanya kepada Malaysiakini, menambah bahawa dia akan membuat laporan polis ke atas Zamri yang membuat tuduhan itu.

Ramasamy percaya bahawa gambarnya itu ditularkan kerana gesaannya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar menghantar pulang penceramah kontroversi Zakir Naik ke India.

Zakir, yang kini merupakan penduduk tetap di Malaysia, dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang haram dan mencetuskan ketegangan agama. Zakir menafikan dakwaan itu.

Satees yang mengulas perkara itu berkata, majlis peringatan itu diadakan di Butterworth dan dianjurkan oleh sebuah NGO pada 2015.

"Ia merupakan majlis simbolik bagi menghormati mangsa pembunuhan beramai-ramai dan pejuang kebebasan yang terkorban.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikannya isu, tapi adalam perkara biasa di kalangan orang Tamil seluruh dunia.

"Perkara ini bukan satu isu. Jadi saya tidak mahu membuang masa membalas pada kiriman asal di Facebook oleh orang yang dikenali sukan mencari perhatian.

"Sejak bila menyokong gerakan pembebasan disamakan sebagai menyokong keganasan?" katanya merujuk Pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Satees berkata dia menyokong LTTE atas perjuangan mereka untuk kaum minoriti Tamil di Sri Lanka.

Atas sebab sama, dia juga menyokong Hamas dalam perjuangan membebaskan Palestin. Sama halnya dengan gerakan nasionalis Kurdish.

"Adakah anda juga ada masalah tentang hal itu?" katanya sebagai respons kepada Mufti Perlis Dr Mohamad Asri Zainul Ariffin yang berkongsi gambar Zamri dan meminta penjelasan.

"Adakah Dr Maza akan menyifatkan mereka yang sokong Hamas sebagai pengganas?

"Saya fikir mufti perlu keluar dari cengkerangnya dan melihat realiti dunia," kata Satees.

Debat terbuka

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohamad Asri mencadangkan agar debat di antar Zakir dan Ramasamy diadakan dengan mengupas tajuk Siapa Pengganas Sebenar?

Jelas Mohamad Asri, debat itu hendaklah dibuat secara terbuka agar dapat disaksikan oleh setiap lapisan masyarakat.
"Siaran langsung media hendaklah diberikan ruang. Biar rakyat menjadi saksi tentang polemik ini.

"Jika benar pemimpin DAP tersebut mementingkan kebebasan bersuara, nilai intelektual dan hak rakyat menilai kebenaran, mereka wajar menyahut cadangan ini.

"Jika enggan, maka nyata isu ini hanya sikap permusuhan antara mereka dan umat Islam semata," katanya melalui kenyataan di Facebook.

Mohamad Asri juga mencadangkan agar pihak yang tewas dalam debat itu dihantar pulang ke India.

"Mohon semua pihak khususnya rakyat awam membantu menggesa debat ini diadakan dengan segera," katanya.

[Baca berita penuh]

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS