Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Forum pada malam itu agak mengejutkan. Ada banyak sebab untuk terkejut - walaupun tidaklah terlalu besar.

Misalnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan majlis yang terang-terang mahu menyembelih leher sendiri. Ia sudah dapat dirasakan ketika poster mengenai majlis itu mula ditularkan lagi.

Majlis itu juga menunjukkan sebenarnya ramai orang masih cakna kepada DBP, khususnya bahasa Melayu itu sendiri.

Ada ramai yang dikenali sebelum ini yang kelihatan semacam tidak peduli pun tentang bahasa Melayu. Lantaklah apa nak jadi pun, sebab ada hal-hal lain yang lebih penting, mendesak atau menggiurkan.

Namun pada malam itu di dewan bankuet di tingkat satu menara DBP mereka hadir beramai-ramai.

Dan kemudian sesi forum itu pun berlangsunglah. Pada pengamatan saya, forum itu sebenarnya lebih kepada sesi meluahkan perasaan rindu dan dendam para penalisnya.

Dalam kata-kata yang diucapkan berbaur rasa rindu, juga dendam. Rindu adalah nostalgia yang dihuraikan dengan ayat-ayat bagaimana DBP pernah begitu dekat dengan mereka, sama ada secara fizikal atau di hati.

Dendam pula berakar daripada perkembangan-perkembangan yang berlaku selama puluhan tahun.

"Kena tubuh RCI kalau gini," kata Noor Azam berjenaka selepas kami mendengar labun panelis yang berkisah tentang kisah silam masing-masing.

Mengenang cerita-cerita lampau pada majlis forum untuk memperkasa masa depan DBP.

Kemudian ada khabar mendakwa - kononnya - forum berkenaan dianjurkan bukan dengan hati yang sepenuhnya. "Kerna terpaksa..." bak kata Francissca Peter semasa dia mengalunkan lagu itu puluhan tahun silam.

Datang bertimpa-timpa

Dengan perkembangan terkini dalam negara, nasib dialami DBP itu sedikit sebanyak ada persamaan dengan takdir yang menimpa Umno.

Kesilapan pertama DBP ialah merelakan ia menjadi tempat pemimpin meletakkan sesiapa yang mereka suka supaya nanti boleh menjadi tukang angguk.

Kesilapan kedua ialah membenarkan amalan itu berakar umbi sehingga badan itu seolah-olah tidak ada fungsi apa-apa selain untuk ada.

Maka pada malam itu DBP pasrah terhadap apa saja yang ingin dilakukan orang padanya.

Umno pun kira-kira begitulah. Ketika semua orang mengakui ia perlu berubah, majoriti bahagian di seluruh negara memilih Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden.

Itu baru kesilapan pertama. Ahmad Zahid kemudian melantik Apandi Ali sebagai antara orang yang akan mengelilinginya sebagai presiden parti. Kalau itu bukan kesilapan kedua, pastilah ia lelucon utama daripada Umno selepas PRU lalu.

Sebenarnya - dengan keadaan semasa dan pilihan yang ada - antara Ahmad Zahid, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin, pilihan yang betul ialah orang yang paling muda itu.

Umno yang sedang pikun wajib diremajakan. Mana mungkin proses peremajaan dilaksanakan oleh orang yang pikun juga?

Namun yang pikun itu jugalah menjadi pujaan hati majoriti bahagian Umno. Demokrasi yang diamalkan dalam acuan itu memungkinkan Ahmad Zahid menang.

Maka satu lelucon melahirkan lelucon yang lain. Melantik Apandi misalnya. Dan apabila Apandi - yang sebelum itu dilaporkan menganggap penyertaannya seperti ikan pulang ke lubuk - menolak pelantikannya, ia bukan lagi misalan, sebaliknya mengesahkan babak itu sebuah lelucon mutlak.

Memang wajar begitulah yang berlaku supaya sebuah kisah lucu dari sebuah parti usang dapat dilengkapkan.

Sebenarnya bukanlah terlalu asing untuk Apandi menolak jawatan yang diberi. Sebelum ini pun pernah pelawaan seumpama itu tidak diterima, iaitu apabila Najib Razak menjemput Kazim Elias menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno.

Namun penolakan itu tidaklah selucu semalam kerana ketika itu Umno masih gah berkuasa.

Balik tulis sajak

Kelucuan sebenar pada Kazim hanya berlaku apabila dia dikhabarkan menghadapi kesulitan untuk berceramah dan bercadang menjual sekolah tahfiz yang dikelolanya.

Masih terbayang kemerduan suara beliau menyanyi di pentas-pentas ceramah. Dan bayangkan betapa ruginya umat apabila tidak lagi dapat mendengar beliau mendendangkan lagu-lagu malar segar itu.

Harapan supaya Umno menjadi entiti yang dihormati bukanlah kerana kita sayang kepada parti itu, bahkan sebaliknya. Kasih cinta kita yang utama tentulah kepada negara yang bertuah ini.

Hanya dengan kewujudan Umno secara bermaruah barulah kerajaan sedia ada boleh berdepan dengan amalan semak dan imbang yang menguntungkan rakyat.

Nak berharap kepada parti pembangkang yang satu lagi itu, mereka pun memang berada dalam kelas kepandiran yang tersendiri.

Siapa yang perlu dipersalahkan? Tentulah anggota Umno sendiri. Hal yang sama dapat dilihat pada DBP. Ketika badan itu mesti diwaraskan, yang kekal ialah para penghuni dunia penafian yang tekal mempertahankan status quo lagi dan lagi.

Ketika mereka dikeroyok beramai-ramai, sebahagian yang lain kekal dengan sikap tidak endah dan berkulit tebal enggan ke belakang.

Justeru apa yang perlu dilakukan?

Kata orang bestari kontemporari, orang yang menang menulis sejarah, yang kalah menulis sajak.

Justeru, apa salahnya tokoh seperti Apandi dan pengarah-pengarah serta ketua pengarah DBP mula bersajak, berseloka atau berpantun menzahirkan rasa jiwa masing-masing, kan?

Sambil-sambil menulis dan bernostalgia, boleh juga mendengar lagu Fauziah Latiff:

Yang terhalang kejujuranku
yang terbilang kesilapanku
memang payah dimengertikan
kerana tertutup pintu hatimu
terima penjelasan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS