Paling Popular
Terkini
story images
story images

Gabungan 300 NGO Islam Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersedia untuk mengerakkan himpunan rakyat secara besar-besaran di Kuala Lumpur, 28 Julai ini sebagai tindakan bantahan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Sekretariatnya, Aminuddin Yahya berkata, tindakan tersebut dibuat bagi terus mendesak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dalam membatalkan terus pengiktirafan terhadap UEC.

“UMMAH berpandangan apa-apa keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap agama, bangsa dan negara perlu diperhalusi dengan lebih mendalam termasuk diperbahaskan di parlimen dengan mengambil kira kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu UMMAH mengulangi bahawa kami akan terus mendesak bagi membantah dan bersedia menggerakkan himpunan aman bantahan rakyat secara besar-besaran pada 28 Julai ini di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian pendidikan semalam menegaskan kerajaan masih dalam proses kajian berhubung pengiktirafan UEC sebelum membuat sebarang keputusan.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan berhubung perkara itu akan bersifat menyeluruh dan holistik.

Mengulas kenyataan Dr Maszlee itu, Aminuddin berkata kenyataan menteri pendidikan itu dibuat bagi menutup kesilapan sebelum ini.

“Kenyataan itu kenyataan nak cover up selepas banyak bantahan dan tekanan daripada rakyat dan pelbagai pihak.

“Ia juga mungkin dari desakan rakyat sendiri dan bagi kita, kita tidak ambil kenyataan itu sebagai kenyataan yang menyelesakan kami,” katanya.

Aminuddin turut mendakwa menteri pendidikan itu kini tidak konsisten dalam mengambil keputusan.

“Semalam sahaja ada dua kenyataan daripada Dr Mazlee (berhubung UEC) dan ia menampakan menteri sendiri tidak konsisten dari segi keputusan beliau,” katanya.

Cadang Dr M ganti Dr Maszlee

Tambahnya, keputusan yang diambil Dr Maszlee jelas menunjukkan pentadbiran baru kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terburu-buru dan hanya sekadar mahu memenuhi kehendak golongan minoriti di negara ini.

“Memang tepatlah apa yang dinyatakan (tindakan kerajaan tentang UEC sekadar memenuhi kehendak golongan minoriti di negara ini) itu,” katanya ringkas.

Selain itu, Aminuddin turut mencadangkan agar kedudukan menteri pendidikan diambil alih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan perdana menteri itu menurutnya pernah menolak UEC.

“Pada pemerintahan lepas Dr Mahathir pernah menolak UEC.

“Jadi, kita mencadangkan dan kita minta Dr Mahathir sendiri mengotakan balik kenyataan beliau dulu dan niat beliau untuk menjadi menteri pelajaran kerana menteri pelajaran yang baru ini tak berapa stabil sikit, mungkin kerana baru, mungkin juga dia cerdik tapi dia agak tidak stabil sedikit,” katanya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (SMPC) dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pelbagai pihak membantah cadangan itu dan kebanyakannya merasakan ia akan terus mengabaikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Mengulas kerisauan itu, badan pendidikan Cina berpengaruh Dong Jiao Zong berkata SMPC sentiasa menghormati bahasa Melayu melalui kedudukannya sebagai mata pelajaran wajib dan pelbagai program penggalakan lain.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula mengambil pendekatan lebih sederhana iaitu menggesa kurikulum UEC dipinda terlebih dulu agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, sebelum diberi pengiktirafan.

Isu ini tercetus pada 8 Jun lalu apabila timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu itu sebelum hujung tahun ini.

Lihat Komen
ADS