Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Negara dikuasai BN, HARAPAN mungkin ada masalah

ULASAN l Semalam, Parlimen Malaysia mencipta sejarah apabila ia memulakan mesyuarat pertamanya selepas pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.

Inilah kali pertama dalam masa 60 tahun sejak merdeka pada tahun 1957 dan setelah melalui 14 PRU, Dewan Rakyat dikuasai oleh parti lain daripada Perikatan/Barisan Nasional.

Jadi tidak hairanlah antara ahli pembangkang yang bertindak keluar dewan kerana membantah “point of order” pelantikan Speaker adalah daripada BN. Ahli-ahli BN itu mengikut apa yang dilakukan oleh perwakilan PAS.

Patut sangatlah. Sebagai parti yang baru menjadi pembangkang, BN kenalah belajar daripada parti pembangkang veteran macam PAS. Tapi janganlah pula sampai ponteng dewan seperti yang sudah menjadi amalan salah seorang ahli Yang Berhormat parti tersebut.

Ahli pembangkang yang riuh-rendah keluar dewan itu akhirnya terpaksa jilat ludah sendiri apabila masuk semula untuk mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan yang mereka bangkang - Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. Mohamad Ariff adalah bekas hakim mahkamah rayuan.

Ahli Yang Berhormat BN dan PAS itu angkat sumpah juga sebab kalau tak angkat sumpah tak sah jadi anggota dewan. Bila tak sah jadi anggota dewan, taklah dapat elaun. Jadi terpaksalah juga tanggung aib dan angkat sumpah.

Bukan mudah bagi BN – atau lebih tepat Umno – menukar peranan daripada kerajaan kepada pembangkang.

Mengikut kiraan sehingga 24 Jun, terdapat 116 wakil Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam dewan. Mereka disertai dan disokong oleh lapan wakil Warisan dan seorang Upko sebagai ahli “confidence & supply”.

Kalau kiraan kepala itu tepat, HARAPAN dan rakan-rakan sekutunya kini menguasai 126 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Ini bermakna ada 96 orang ahli pembangkang yang terdiri daripada 54 BN (51 Umno, 2 MIC dan 1 MCA), 19 Parti Gabungan Sarawak (GPS), 18 PAS, dua United Alliance (PBS dan STAR), 1 PBRS dan 3 bebas.

Angka ini mungkin tidak tepat 100 peratus kerana klasifikasi masih boleh berubah disebabkan ahli keluar atau bertukar parti.

Misalnya, portal rasmi Parlimen Malaysia telah mentakrifkan wakil BN Masjid Tanah, Melaka, (Datuk Wira) Mas Ermieyati Samsudin, sebagai ahli bebas. Beliau isytihar keluar Umno 1 Julai lalu.

Perbahasan dan pengundian pun mungkin mengalami perubahan dan kejutan. Ini adalah kerana sudah ada kalangan ahli pembangkang dan bebas - seperti GPS – yang membayangkan bahawa mereka mesra HARAPAN.

GPS bertanding PRU 9 Mei lalu sebagai BN Sarawak tetapi keluar BN pada 12 Jun. Ia terdiri daripada PBB dengan 13 kerusi, PRS 3, PDP 2 dan SUPP 1.

Dengan ini, HARAPAN dan sekutunya dijangka tidak akan mengalami masalah besar untuk meluluskan rang undang-undang biasa yang tidak memerlukan suara dua pertiga.

Parlimen kita dibentuk berasaskan sistem Westminster Inggeris. Ia mengandungi dua dewan - Dewan Rakyat dengan seramai 222 ahli yang dipilih dan Dewan Negara dengan 70 ahli yang dilantik.

HARAPAN mungkin menghadapi masalah di Dewan Negara kerana ia dikuasai oleh Umno/BN serta parti-parti yang dulunya bergabung atau bersimpati dengan BN.

Sehingga 12 Jun lalu, 30 daripada 70 ahli Dewan Negara adalah wakil BN (22 Umno, 5 MCA dan 3 MIC). GPS ada 3, bebas 3, Gerakan 2, PAS 2 manakala PLF, United Alliance, PBS dan LDP seorang ahli setiap satu.

Ada 24 kekosongan yang perlu diisi. Semalam enam calon senator yang pro-HARAPAN diumumkan dan akan mengangkat sumpah hari ini.

Parlimen bukan sarkas

Setelah membuat perubahan pada 9 Mei lalu, pengundi khasnya dan rakyat jelata amnya tentulah mahu melihat pembaikan dalam perbahasan di Parlimen.

Sekali-sekala berlawak jenaka, ketawa dan menepuk meja bolehlah. Tapi kita tidak mahu sarkas dan bahas ala Raja Lawak seperti berlaku semalam diteruskan. Kita mahu perbahasan yang berkualiti, bernas, berhemah dan bijaksana.

Wakil-wakil HARAPAN wajib berani bertanya dan menegur kerajaan mereka sendiri dan wakil-wakil pembangkang menyokong kerajaan dalam hal-hal kepentingan negara.

Wajib ada dikotomi atau pemisahan di antara parti dan kerajaan di kalangan ahli HARAPAN. Yang tidak menjadi menteri atau timbalan menteri wajib berani menegakkan pendirian parti dan mengkritik kerajaan jika ia menyimpang daripada ikrar dan janji.

Di pihak yang lain pula, kita mahu melihat Parlimen menjadi lebih bipartisan dalam isu-isu pokok seperti reformasi institusi, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Proses reformasi telah pun bermula dengan Parlimen diberikan kuasa yang lebih besar di mana sembilan institusi utama negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Audit Negara telah diletakkan di bawah kawalannya.

Badan-badan lain yang bertanggungjawab terus kepada Parlimen adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Saya cadangkan agar hal-hal berkaitan Raja-raja Melayu juga dipertanggungjawabkan kepada Parlimen supaya kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada raja serta negara, seperti termaktub dalam Rukun Negara, boleh kita jadikan amalan harian. Ini boleh dimulakan dengan peruntukan diraja dibentang dan dibahaskan secara terbuka di Parlimen.


DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Namun menurutnya, pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau yang ditulis dalam kapasitinya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatannya.

Tulisan ini juga tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS