Malaysiakini
BERITA

Lapan angkat sumpah senator termasuk dari BN, Hindraf

Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Jul 2018, 10:13 pagi

Lapan individu termasuk Datuk Ismail Ibrahim dari BN dan Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A Vigneswaran hari ini.

Menurut sumber, nama Ismail telah diserahkan lebih awal untuk dilantik sebagai senator menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun majlis angkat sumpah itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Sementara Waytha Moorthy hari ini turut mengangkat sumpah senator menerusi lantikan Agong.

Ini merupakan kali kedua Waytha Moorthy dilantik ke jawatan itu.

Pada 2013 beliau dilantik sebagai senator tetapi meletakkan jawatan selepas 10 bulan berkhidmat.

Empat lagi individu yang mengangkat sumpah menerusi lantikan Agong hari ini ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Ketereh, Kelantan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ketua BERSATU Pulau Pinang Marzuki Yahya; Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Sementara Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Hussain Awang mengangkat sumpah sebagai senator yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asmak Husin dipilih oleh DUN Kelantan.

Sebelum ini terdapat 51 senator daripada 70 kerusi Dewan Negara di mana seramai 28 daripadanya adalah dari BN.

Selebihnya terbahagi kepada Pakatan Harapan (HARAPAN), Gabungan Parti Sarawak, PAS, Gerakan dan wakil NGO. 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.