Hakim Besar Malaya yang baru dilantik, Tan Sri Zaharah Ibrahim berkata beliau berbesar hati diberi penghormatan kerana dilantik ke jawatan tersebut dan menjadi wanita kedua di negara ini yang mendapat peluang berkenaan.
Zaharah memberitahu hal ini kepada wartawan selepas istiadat angkat sumpah dan kesetiaan di hadapan hakim paling kanan Mahkamah Tinggi Malaya Datuk Su Geok Yiam.
Turut hadir ialah Presiden Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Ahmad Ma'arop dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah serta para hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.
Hakim Zaharah ialah wanita kedua yang dilantik sebagai Hakim Besar Malaya selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob yang memegang jawatan itu pada tahun 2005 hingga 2007.
Beliau berasal dari Johor dan merupakan graduan daripada fakulti undang-undang Universiti Malaya pada tahun 1977 dan selanjutnya menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan. Beliau pernah menjadi majistret di Melaka.
Beliau juga pernah menjadi penasihat undang-undang dari 1994 ke 1996.
Zaharah kemudian dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman pada 2004 dan disahkan sebagai hakim dua tahun kemudian.
Beliau kemudiannya berkhidmat di Mahkamah Rayuan pada 2010 dan dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada 2015.
Hakim Besar Malaya mendirikan rumah tangga dengan Datuk Mohamed Arsad Sehan dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata.
