Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waytha: Debat Ramasamy-Zakir Naik tak baik untuk perpaduan negara

Dalam kenyataan pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai menteri hari ini, P Waythamoorthy menolak cadangan debat antara Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dengan pendakwah Zakir Naik.

Ketika bercakap dengan pemberita di Istana Negara hari ini, pemimpin Persatuan Hindraf Malaysia itu kelihatan berbeza berbanding imejnya sebelum ini sebagai individu lantang dan pernah dituduh sebagai ekstremis dan ancaman kepada keselamatan negara.

Diberi portfolio perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial, menteri di jabatan perdana menteri itu berkata debat tersebut tidak bagus untuk perpaduan negara.

"Debat itu tidak perlu, tidak relevan. Bagaimana ia memberi manfaat kepada negara kita? Kita bercakap tentang Malaysia yang bersatu, apakah debat ini akan membantu (ke arah itu)?

"Bagi saya, sebab untuk debat itu diadakan tidak munasabah. Jadi kita patut abaikannya," katanya.

Debat itu dicadangkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan topik "Siapa pengganas sebenar?".

Ia selepas Ramasamy dituduh menyokong kumpulan pengganas Sri lanka Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Ramasamy menafikan dakwaan itu.

Pemimpin DAP itu lantang menggesa kerajaan menghantar Zakir kembali ke India bagi berdepan beberapa dakwaan antaranya pengubahan wang haram dan mencetuskan ketegangan agama.

Ditanya tentang pendiriannya terhadap Zakir, Waythamoorthy berkata beliau tiada masalah dengan pendakwah Islam tetapi mereka yang mengeluarkan kata-kata yang menyakiti perasaan orang lain perlu dipantau.

Beliau merupakan antara 19 aktivis yang menggesa penahanan dan penghantaran pulang Zakir.

Menambah baik hubungan

Berhubung perpaduan nasional, pengerusi Hindraf itu mendakwa ia sangat kurang di kalangan rakyat Malaysia terutama golongan muda.

Beliau memberikan contoh anak saudaranya sendiri yang tidak berkunjung ke rumah rakan-rakan daripada kaum lain ketika musim perayaan, berbeza dengan dirinya ketika membesar di Kelantan.

"Kita perlu lebih memahami budaya satu sama lain dan meningkatkan hubungan sosial kita," katanya.

Berhubung hal ehwal masyarakat India, beliau berkata soal itu bukan bawah portfolionya tetapi berkata akan berbincang dengan kabinet dalam soal mengangkat taraf sosial kaum itu dan mencegah mereka yang terpinggir daripada terjerumus ke dalam jenayah.

Lihat Komen
ADS