Polis Pulau Pinang menangkap seorang suspek berusia 35 tahun yang disyaki memeras wang dan membuat ugutan bunuh terhadap pemandu Grab sebelum memaksanya berbogel untuk dirakamkan gambarnya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata suspek mendakwa dirinya seorang perunding dan melakukan jenayah itu dengan bantuan dua orang lagi yang masih bebas.
"Dia dikehendaki di Kuala Lumpur untuk dua kes kecurian dan peras ugut serta mempunyai dua kesalahan yang melibatkan penipuan pada 2012 dan 2016," kata Anuar kepada pemberita ketika diminta mengesahkan laporan polis yang dibuat oleh pemandu Grab itu.
"Suspek juga mempunyai rekod jenayah yang berkaitan dengan dadah pada tahun 2016 dan mengakui terlibat dalam kes itu. Dia akan ditahan semula tidak lama lagi," kata Anuar.
Menurut laporan polis yang tular di media sosial, pemandu Grab itu melalui pengalaman pahit selama 12 jam bermula selepas memandu suspek ke lokasi yang diminta.
Peras ugut RM3,000
Suspek itu telah memesan perjalanan dan kemudian memberitahu pemandu untuk membuat dua lencongan sebelum diminta dibawa ke Batu Ferringhi.
Pemandu itu berkata dia menuruti permintaan suspek dan tidak melakukan sebarang provokasi.
Bagaimanapun dia diperas ugut suspek yang mengambil kunci keretanya, memaksanya keluar, memeriksa keretanya, mengambil beg duit dan dua telefon bimbitnya.
Pemandu itu juga mendakwa suspek berkenaan mengugut agar dia membayar RM3,000 jika mahu dibebaskan.
Tetapi, pemandu itu tidak ada wang yang diminta dan suspek itu mengurangkan amaunnya menjadi RM500.
"Saya tidak ada wang itu dan meminta kawan-kawan saya untuk membantu. Saya terpaksa memberitahu mereka yang saya mengalami kemalangan dan kemudian mereka memasukkan RM500 ke akaun saya," kata pemandu itu.
"Selepas itu, suspek membogelkan saya dan merakam gambar saya," kata pemandu Grab itu dalam laporan polisnya.
