Malaysiakini
BERITA

Wan Saiful akui tak cukup data ketika tulis manifesto HARAPAN

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Jul 2018, 9:13 pagi

Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan mendedahkan tidak mendapat maklumat mencukupi ketika merangka manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum lalu.

Ini kerana menurut pembantu khas kepada menteri pendidikan itu, beliau tidak dapat mengakses kepada maklumat atau data tertentu, menyebabkan wujud 'kelemahan' dalam manifesto berkenaan.

“Sebenarnya pada waktu saya menulis, saya sentiasa sedar bahawa ada satu kelemahan yang amat ketara yang saya hadapi iaitu saya tidak ada, pada waktu itu, data terkini mengenai status kewangan negara.

“Maka saya tidak dapat membuat anggaran berapa kos sebenar yang perlu dibayar untuk melaksanakan program-program yang saya sendiri tuliskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) bertajuk Buku Harapan: Satu Dokumentasi Penyediaan Sebuah Manifesto di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Menjelaskan lagi perkara itu, bekas ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, ekoran itu juga beliau berpendapat mungkin terdapat janji dalam manifesto HARAPAN tidak dapat ditunaikan.

Tiada akses

“Masa menulis banyak maklumat tidak ada sebab tiada akses kepada pegawai kerajaan kerana kerajaan sebelum ini tidak benarkan.

"Dengan realiti itu, mungkin ada janji yang tidak dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Sementara itu, menjelaskan lagi mengenai kekurangan data bagi menulis manifesto, Wan Saiful berkata perkara itu melibatkan Teras 1 dalam Buku Harapan.

Teras 1 dalam Buku Harapan merupakan perkara yang melibatkan isu ekonomi dan kewangan negara.

Bagaimanapun, beliau memberitahu lagi, teras lain dalam manifesto berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah memandangkan pelbagai kajian serta penulisan akademik yang telah dibuat sebelum ini dijadikan bahan rujukan.

"Teras 1 yang melibatkan data kewangan, kos yang tak ada data.

"Kita tak dapat data untuk tahu berapakah jumlah hutang dalam kerajaan kerana kita tidak boleh akses data berkenaan, malah tak diberi peluang untuk akses," katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful mencadangkan agar akses bagi data-data tertentu untuk membuat manifesto perlu diberikan kepada parti pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, ia bagi mengelak perkara sama berlaku terhadap parti lain semasa merangka manifesto.

"Bagi negara yang mempunyai demokrasi matang, pembangkang mesti diberi akses terhadap data. Bukan setiap waktu tetapi sebelum pilihan raya umum.

"Untuk memastikan persaingan yang sihat, parti pemerintah kena berbesar hati dan berani ambil risiko.

"Kalau nak masa depan demokrasi menjadi lebih matang, jangan ulangi apa yang BN dan Umno buat pada kita dahulu, dalam keadaan saya menulis (manifesto) dan tak dapat akses maklumat.

"Kalau BN dan Gagasan Sejahtera nak tulis manifesto, mereka mesti diberi akses," ujarnya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.