Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Demo nelayan Kg Portugis: KM arah pemaju berunding
Diterbitkan:  Jul 18, 2018 3:56 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Kerajaan negeri Melaka hari ini mengarahkan agar pihak pemaju projek Melaka Gateway mengadakan rundingan dengan penduduk Kampung Portugis dalam usaha menyelesaikan segala kemelut berkenaan projek tersebut.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata rundingan itu penting dalam mengambil kira implikasi dihadapi penduduk kampung berkenaan berikutan kerja-kerja penambakan yang didakwa tidak mematuhi hasil keputusan dan syor laporan alam sekitar MACRO-EIA.

"Saya telah menerima memorandum dari penduduk kampung itu dan kita memang tak nafikan bahawa memang ada sedikit (isu). Oleh itu, rundingan harus dibuat antara mereka. Selain itu, kita telah pun mengarahkan exco untuk berurusan dengan pihak pemaju,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

Adly berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Rohas Tecnic Berhad di Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka hari ini. MoU bagi naik taraf jeti Anjung Batu itu ditandatangan Adly dan Pengerusi syarikat itu Tan Sri Azmi Wan Hamzah.

Semalam, media melaporkan lebih 200 nelayan dari Kampung Portugis berhimpun di hadapan pejabat syarikat KAJ Development Sdn Bhd, pemaju projek Melaka Gateway, bagi memohon kerajaan negeri mengadakan rundingan dengan syarikat itu dalam memastikan projek bernilai RM43 billion itu tidak menjejaskan hidup mereka.

Adly berkata kerajaan negeri akan melantik jawatankuasa khas bagi memantau perlaksanaan projek tersebut dianggotai Exco Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab; Unit Perancang Ekonomi Negeri serta penasihat undang-undang negeri.

Mengulas mengenai MoU tersebut Adly berkata menerusi kerjasama itu, jeti Anjung Batu di sini akan diberi nafas baharu dengan meluaskan lagi kawasan terbabit selain mentransformasikan jeti penumpang kepada jeti kargo.

"Projek berkeluasan 13.01 hektar ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan dan dijangka bermula pada tahun depan dengan kos bernilai kira-kira RM20 juta," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS