Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa bentang RUU naikkan umur persaraan hakim
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 10:07 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

Timbalan Ketua Pemuda GERAKAN Andy Yong menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi menaikkan umur persaraan hakim.

Jelas Yong, ia bagi melindungi sistem kehakiman dan mengelakkan kemungkinan terjadi krisis perlembagaan.

Dalam kenyataannya, Yong menyifatkan umur maksimum bagi jawatan hakim iaitu 66 tahun enam bulan yang ditetapkan ketika ini seperti dinyatakan dalam Artikel 251 (1) Perlembagaan Persekutuan sebagai lapuk dan tidak memberikan hakim-hakim kanan, ketua hakim serta presiden Mahkamah Rayuan masa yang cukup untuk berkhidmat secara "positif".

Yong turut menyebutkan perbahasan berhubung pelanjutan perkhidmatan dan pelantikan Hakim Tan Sri Raus Sharif serta Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin masing-masing sebagai ketua hakim dan presiden Mahkamah Rayuan melebihi umur persaraan yang dibenarkan.

"Perkara ini perlu dipertimbangkan segera atas dua sebab: pertama kerana perbahasan undang-undang berhubung pelantikan dan peletakan jawatan Raus Sharif sebagai ketua hakim dan Zulkefli sebagai presiden Mahkamah Rayuan, perlu kata akhir. Meskipun kes saman di Mahkamah Persekutuan belum diputuskan, terdapat kebimbangan ia akan menjejaskan akademik.

"Kedua memandangkan pelantikan tiga jawatan kanan baru-baru ini, iaitu ketua hakim, presiden Mahkamah Rayuan dan hakim besar Malaya, kita akan sedar bahawa hakim-hakim kanan ini juga menghampiri umur persaraan," katanya.

Yong merujuk kes Majlis Peguam yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan berhubung kesahihan pelantikan Raus dan Zulkefli.

Dalam kenyataan sama, Yong berkata tempoh setahun atau kurang tidak akan memberikan masa yang cukup kepada mereka untuk "melakukan apa-apa yang positif untuk kehakiman".

Maka, katanya, menaikkan umur persaraan kepada 70 tahun misalnya akan membolehkan pertukaran jawatan hakim kanan akan lebih lancar dan akan melindungi sistem kehakiman daripada kritikan politik serta kemungkinan krisis perlembagaan.

Tambahnya: "Saya maklum bahawa untuk pindaan seperti ini, parlimen memerlukan dua per tiga majoriti, maka anggota parlimen ketika ini perlu mengundi mengikut pendirian masing-masing sekiranya pindaan isu dibentangkan"

Kontroversi timbul sebelum ini apabila Raus dan Zulkefli yang dilantik bagi jawatan masing-masing ketika masih dalam umur yang sah dianggap sebagai hakim tambahan ketika mereka mencapai umur wajib bersara, yang membolehkan mereka mengekalkan jawatan.

Meskipun kedua-dua hakim itu kemudian meletakkan jawatan bulan lalu, ramai pihak membantah kerana peletakan jawatan itu hanya akan berkuat kuasa pada 31 Julai dan dalam tempoh itu tidak membolehkan Tan Sri Richard Malanjum yang baru dilantik sebagai ketua hakim menjalankan tugas.

Malanjum, 65, yang merupakan bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak, akhirnya mengangkat sumpah sebagai kerua hakim minggu lalu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS