Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN tubuhkan jawatankuasa kaji MA63
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 1:38 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mendedahkan bahawa mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan pembentukan sebuah jawatankuasa khas kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63, yang merupakan janji 100 hari Pakatan Harapan.

"Jawatankuasa Khas Kabinet bagi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan telah dipersetujui oleh jemaah menteri, baru-baru ini.

“Keahliannya akan dianggotai oleh wakil-wakil dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan," katanya dalam jawapan bertulis.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen.

Liew berkata jawatankuasa itu telah ditugaskan untuk menyediakan laporan terperinci mengenai perkara itu dalam masa enam bulan dari tarikh ia ditubuhkan.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan berhubung perkara-perkara berikut:

  • Status Perjanjian Malaysia 1963 dalam perundangan sekarang
  • Usaha meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 melalui sistem pendidikan kebangsaan
  • Pelaksanaan konsep federalisme untuk ketiga-tiga wilayah - Semenanjung, Sabah dan Sarawak
  • Hak-hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas
  • Perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri
  • Jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak
  • Pindaan kepada Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan Malaysia

Penduduk Sabah dan Sarawak telah lama melobi supaya versi asal Perlembagaan Persekutuan dipulihkan di mana Sabah dan Sarawak disebut sebagai wilayah yang setaraf dengan Semenanjung Malaysia.

Walau bagaimanapun, ini dipinda pada tahun 1976 untuk menyenaraikan Sabah dan Sarawak sebagai salah satu daripada 13 negeri di Malaysia.

Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, dalam bentuknya sekarang, menyatakan: "Negeri Persekutuan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu ".

Liew berkata sebaik sahaja laporan jawatankuasa khas itu diluluskan oleh kabinet, ia juga akan ditugaskan untuk mengawasi pelaksanaan cadangan-cadangan yang terkandung dalam laporan berkenaan.

Lihat Komen
ADS