Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah NAFAS fail permohonan semakan kehakiman
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 5:58 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Seramai sembilan Anggota Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur berhubung keputusan Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung operasi pengurusan pertubuhan itu sejak 28 Mei lepas.

Sembilan individu itu ialah Sylvester Entri Anak Muran; Mohd Nazri Abdullah; Mustaffar Kamal Ab Hamid; Ali Shikh Ahmad; Ibrahim Jahaya; Abd Lateh Mohd Saman; Ramli Norani; Ismail Omar dan Nazilah Abd Latif selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 6 Julai lepas melalui Tetuan Haniff Khatri.

Mereka menamakan Pendaftar Pertubuhan Peladang, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili sembilan individu itu berkata mahkamah menetapkan 30 Julai ini untuk mendengar permohonan kesemua anak guamnya bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.

Mohamed Haniff berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Datuk Nordin Hassan hari ini.

Dalam permohonan itu, sembilan individu tersebut memohon perintah certiorari supaya perintah penggantungan tersebut dibatalkan dan perintah mandamus bagi memaksa Salahuddin membalas atau memberi keputusan terhadap rayuan pemohon berhubung penggantungan berkenaan.

Dakwa mereka perintah penggantungan tersebut dibuat atas alasan pertubuhan itu menghadapi masalah serius dalam barisan kepimpinan anggota jemaah pengarah dan pengurusan susulan laporan audit pengurusan yang diserahkan kepada kementerian pada 26 Mac lalu.

Oleh itu, mereka menuntut perintah deklarasi bahawa tindakan Salahuddin tidak menjawab rayuan yang dikemukakan kesemua pemohonan adalah bercanggah dengan undang-undang dan tidak mematuhi tanggungjawab statutori sebagai menteri.

Kesemua pemohon juga mendakwa kesemua responden tidak mempunyai asas yang kukuh dan munasabah untuk menggantung Perlembagaan Nafas mengikut Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Berdasarkan afidavit yang dikemukakan, pemohon mendakwa sehingga kini mereka tidak pernah menerima sebarang notis atau maklumat berkaitan dengan siasatan yang dijalankan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang.

Mereka turut mendakwa pendaftar pertubuhan peladang itu terkhilaf mengeluarkan perintah penggantungan selain gagal memberikan tempoh masa untuk pemohon dan pihak pengurusan Nafas membaiki isu yang dibangkitkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS