BERITA

Ke hadapan pak menteri tani

Muhaimin Sulam

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Jul 2018, 1:39 pagi

ULASAN | Hari ini sangat bersejarah. Sangat penting dan utama untuk difikirkan bersama.

Sebenarnya acara petang ini sangat penting kerana kita akan berbincang soal tanah ini, daerah ini. Soal manusia yang mendiami tanah ini. Soal pokok, tanaman, tumbuhah, ikan, ternakan dan segala macam kerja pertanian.

Di tanah ini tumbuh kebahagian. Di sawah kampung, terbit kesejahteraan. Tanah pertiwi ini anugerah Ilahi, bukan milik peribadi.

Oleh kerana itu, tempat majlis ini berlangsung bukan sebarang jenis tanah. Secara peribadi, saya dan rakan-rakan sekampung membesar di sini, bersekolah, bermain hingga bersiasah di sini.

Pasir Salak, Sungai Manik dan Chenderong Balai sangat sinonim dengan nafas kehidupan kami.

Oleh kerana itu, menjadi hasrat kami semua menjemput menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke bumi kami yang bersejarah dan bertuah ini.

Sejarahnya, kawasan penanaman padi Sungai Manik ini ialah inisiatif Inggeris dalam rancangan kerajaan penjajah itu menyediakan bekalan beras kepada penduduk.

Projek pengairan bermula dari 1930-an selepas penubuhan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) oleh Inggeris.

Lembah subur

Daerah Pasir Salak ini luas. Di sepanjang Sungai Perak, kampung Melayu tradisi sudah wujud sejak kurun ke-15. Zaman Sultan Muzaffar Shah mendirikan kerajaan negeri. Bahkan lebih awal daripada sejarah yang tertulis.

Sungai Bidor, Sungai Batang Padang, Sungai Kinta, Sungai Terus dan puluhan anak sungai lain mengairi lembah subur ini.

Bertani, berkebun dan menjadi nelayan air tawar adalah kerja berzaman. Kearifan setempat tentang pertanian tentulah hebat dan perlu dimanfaatkan. Inilah tamadun yang menggerakkan ikhtisad negeri ini sejak dahulu.

Kami orang Melayu di Pasir Salak ini; jika bukan seorang petani, pekebun, penoreh, peladang atau nelayan air tawar, setidak-tidaknya adalah anak tani, anak pekebun, menantu peladang, pegawai pertanian, yang berbakti pada tanah, berkhidmat untuk nusa.

Bendang kami di Sungai Manik, Seberang Perak dan Chui Chak adalah riwayat sebuah masyarakat Malaysia yang progresif dan dinamik.

Riwayat ini panjang dan rencam. Bukan tiada watak Lahuma dan Jeha di seperti yang dicatat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di sini.

Kemiskinan tetap ada meskipun di sekelilingnya ada projek bernilai ratusan juta ringgit cuba membangun masyarakat. Kemiskinan tetap menjadi isu.

Satu kenyang, seribu kelaparan

Oleh sebab itu, kami tidak tagihkan projek berjuta-juta ringgit ke kampung jika rakyat terus miskin dan terbelakang.

Kami tidak kemaruk pada projek-projek mega jika tanaman tidak menjadi atau harga pasaran tidak menentu.

Jangan berlaku satu kenyang, seribu kelaparan. Jangan sampai retak perahu kita saat mencari ikan. Jangan sampai batas sawah kita pecah sebelum air masuk.

Di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan, kita sebagai rakyat harus berhenti bermimpi. Para pemimpin pula jangan asyik menjual mimpi hingga rakyat leka pada keindahan yang mengkhayalkan.

Inilah yang berlaku sekian lama dalam masyarakat kita - dibuai, didodoi dengan mimpi palsu berlindung atas nama kesucian agama dan bangsa.

Pada akhirnya ke perut dan tembolok pihak yang berkepentingan juga yang dapat.

Mohon kedatangan pak menteri dapat mengambil perhatian khususnya beberapa isu pertanian seperti potongan hasil padi yang tinggi, bekalan air, harga baja dan racun yang tinggi dan insya-Allah petani juga akan berkongsi masalah mereka selepas ini.

Projek hiliran peladang dan petani harus lebih dipergiatkan. Bantuan yang sedia ada perlu diteruskan di bawah kerajaan baru ini.

Siapa pun yang menguasai kerajaan, tanggungjawab kerajaan ialah memastikan pembangunan berlangsung.

Kita elakkan pembaziran dan ketirisan yang merugikan negara dalam membangunkan negara.

Terimalah serangkap pantun buat pak menteri:

Budak-budak mendayung perahu,
Sambil mendayung, sambil bermain;
Macam mana bunga tidak layu
Embun menitis ke tempat lain.

Harap-harap bukan setakat embun yang menitik tanah Pasir Salak tetapi hujan rahmat yang akan turun. Insya-Allah.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.

Tulisan ini merupakan ucapan penulis sewaktu mewakili EXCO Pertanian kerajaan negeri Perak ketika lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sepetang ke Parlimen Pasir Salak.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.